Polisi Perlindungan Murid bukan jadikan guru kambing hitam – Fadhlina

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 4:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polisi Perlindungan Murid bukan jadikan guru kambing hitam – Fadhlina
Sesi libat urus Polisi Perlindungan Murid yang diadakan sebelum ini.

PUTRAJAYA – Polisi Perlindungan Murid Sekolah bukan bertujuan menjadikan guru sebagai pihak yang dipersalahkan sekiranya berlaku sesuatu terhadap murid, tegas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, tanggungjawab melindungi keselamatan dan kesejahteraan murid tidak diletakkan sepenuhnya di bahu guru, sebaliknya membabitkan seluruh ekosistem termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), kepimpinan sekolah, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ibu bapa.

“Polisi ini bukan untuk mencari siapa yang boleh dipersalahkan apabila sesuatu berlaku. Apatah lagi untuk menjadikan guru sebagai kambing hitam.

“Kita ingin lindungi murid, kita ingin lindungi guru, kita ingin ekosistem sekolah yang selamat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Penegasan itu dibuat ketika pelaksanaan polisi berkenaan menimbulkan kegusaran dalam kalangan sebahagian guru dan ibu bapa, khususnya berkaitan pembahagian tanggungjawab serta tindakan yang perlu diambil sekiranya berlaku isu keselamatan atau kebajikan murid.

Antara perkara yang menjadi perhatian ialah keperluan menandatangani dokumen aku janji polisi berkenaan, dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebelum ini menyuarakan kebimbangan ia boleh memberi implikasi kepada guru dan menggesa supaya dokumen itu digantikan dengan ikrar komitmen yang tidak menimbulkan polemik.

Kegusaran berkenaan turut mendorong persoalan lebih luas mengenai sejauh mana guru dilindungi ketika menjalankan tanggungjawab, termasuk apabila menerima aduan atau membuat laporan berdasarkan kebimbangan terhadap keselamatan murid. NUTP sebelum ini turut mengemukakan cadangan berkaitan keperluan Akta Perlindungan Guru serta penambahbaikan prosedur pengurusan aduan.

Fadhlina berkata, antara kegusaran terbesar yang disuarakan guru sejak beberapa hari lalu adalah berkaitan tanggungjawab mereka sekiranya berlaku sesuatu terhadap murid.

Katanya, terdapat guru yang bimbang mengenai tindakan perlu diambil apabila menerima aduan, selain merasakan penerangan berhubung polisi berkenaan masih belum mencukupi.

“Saya dengar semua kegusaran ini. Sebab itu saya telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad untuk meneruskan sesi libat urus dan penerangan supaya setiap persoalan guru dapat dijawab dengan jelas,” ujarnya.

Jelas beliau, langkah berkenaan bukan bermaksud polisi itu dibentuk tanpa perbincangan kerana KPM sebelum ini sudah mengadakan sesi libat urus bersama pelbagai pemegang taruh.

Antaranya JPN, PPD, NUTP, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), UNICEF, ARUS Academy, Buku Jalinan Chow Kit serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, Fadhlina berkata, sekiranya masih terdapat guru yang belum jelas atau berasa bimbang selepas sesi berkenaan, KPM menganggap usaha penerangan masih belum selesai.

“Sesi penerangan seterusnya akan bermula malam ini dan rakamannya juga akan dimuat naik supaya ia boleh dirujuk oleh guru-guru,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan apabila berlaku kebimbangan terhadap keselamatan murid, guru tidak perlu menunggu sehingga mempunyai bukti lengkap sebelum membuat laporan.

“Apabila menerima aduan atau mempunyai syak munasabah, laporkan segera kepada pentadbir. Guru tidak perlu menunggu sehingga mempunyai bukti yang lengkap untuk melapor.

“Selepas itu, kes perlu diselaraskan, tindakan ditentukan mengikut jenis dan tahap kes serta dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan apabila diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, tatacara berkenaan bertujuan memberikan kejelasan kepada guru mengenai tindakan yang perlu diambil, selain memastikan murid tidak mengalami trauma berulang akibat pengendalian kes yang tidak sewajarnya.

Fadhlina turut memberi jaminan guru tidak akan dibiarkan bersendirian ketika melaksanakan tanggungjawab melindungi murid.

“Kita tidak mahu guru dibiarkan bersendirian ketika melindungi murid dan kita juga tidak akan membiarkan guru-guru kita menghadapi ujian bersendirian.

“KPM sentiasa peka dan bantuan guaman turut disediakan kepada guru yang memerlukan berdasarkan kesesuaian dan keperluan kes,” katanya.

Beliau berkata, penerangan dan libat urus perlu diteruskan sehingga guru benar-benar memahami peranan, batas tanggungjawab serta tindakan yang perlu diambil ketika berhadapan sesuatu kes.

“Melindungi anak-anak kita adalah tanggungjawab bersama. Guru tidak harus memikulnya sendirian,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved