Grab Food boleh dikatakan sebagai salah satu daripada cara kegemaran orang ramai untuk membeli makanan tengahari, malam dan minuman petang khususnya apabila anda sibuk dan tidak mempunyai masa untuk keluar beratur membeli makanan sendiri. Terkini, di acara GrabX yang berlangsung di Singapura, Grab telah memperkenalkan fungsi-fungsi baru untuk memesan makanan pada skala persendirian dan juga besar-besaran untuk pelbagai jenis keperluan.

Pertama ialah untuk pesanan besar yang dibuat. Secara lazimnya, pesanan Grab Food akan dikendalikan oleh rider yang menaiki motosikal, tetapi kadang-kala, pengguna akan membuat pesanan besar samada untuk pejabat ataupun untuk perayaan, dan secara lazimnya ini akan menyukarkan penghantar pesanan yang mungkin akan perlu memanggil rakan untuk membantu mengambil pesanan.

Untuk ini, Grab dilaporkan menggunakan algoritma kecerdasan buatan untuk menentukan sekiranya mana-mana pesanan adalah terlalu besar, dan akan menentukan bahawa penghantar pesanan berkereka diperlukan untuk menghantar pesanan tersebut.

Sekiranya ia tidak berjaya ditemui, Grab akan mengagihkan pesanan tersebut kepada dua penghantar bermotosikal atau lebih, dan setiap penghantar akan mendapat jumlah habuan yang sama. Penghantaran juga akan berlaku pada masa yang sama, jadi pelanggan tidak akan perlu menunggu lama untuk makanan mereka.
Menurut Grab, siri pemisahan pesanan ini sudahpun mula ditawarkan di beberapa pasaran, dan akan dilanjutkan kepada pasaran-pasaran lain dalam masa terdekat ini, dengan 175 juta menu makanan dan berjuta-juta transaksi yang dilakukan setiap jam.

Untuk mereka yang gemar makan secara seorang, GrabFood For One ialah satu ciri baru yang membolehkan pelanggan untuk membuat pesanan makanan dengan cepat dan mudah, tanpa perlu menatal menu kedai-kedai satu-persatu. Bukan itu sahaja, penawaran GrabFood For One juga hadir dengan tanda harga mampu milik.
Ciri GrabFood For One sudahpun mula diaktifkan di semua pasaran Grab di Asia Tenggara.
Grab juga akan memperkenalkan ciri Shared Saver yang membolehkan anda untuk memasuki pesanan berkumpulan, tetapi pesanan tersebut akan dibuat bersama-sama dengan pelanggan-pelanggan lain yang tidak dikenali.

Grab mengatakan bahawa anda boleh menetapkan pesanan anda untuk menjadi pesanan Shared Saver, ataupun sistem mereka akan menggunakan kecerdasan buatan untuk melihat sekiranya pesanan anda ataupun orang lain boleh disekalikan dalam pesanan berkumpulan ini.

Ini dilihat dapat membantu mengurangkan keperluan untuk menggunakan terlalu ramai penghantar pesanan Grab untuk menghantar satu pesanan makanan dan minuman pada satu-satu masa. Grab mengatakan bahawa ciri ini akan diperkenalkan di Singapura bermula minggu ini, dan akan diperkenalkan untuk pasaran-pasaran lain tidak lama lagi.


