PUTRAJAYA - Grab Malaysia memperkenalkan ciri baharu dikenali sebagai ‘Group Ride’ dalam aplikasi Grab bagi mengoptimumkan mobiliti pengguna menerusi konsep perkongsian perjalanan yang lebih pintar, cekap dan mampu milik.
Pelancaran ciri itu selaras dengan usaha kerajaan menggalakkan rakyat mengamalkan tabiat pengangkutan lebih mampan selain membantu mengurangkan kos sara hidup dan kesesakan jalan raya di kawasan bandar.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementerian mengalu-alukan pengenalan ciri baharu itu yang selaras dengan seruan #TanggungjawabBersama untuk pengendali e-hailing memperluaskan perkhidmatan kongsi kereta atau carpool.
“Gangguan bekalan bahan api akibat konflik di Asia Barat telah menyaksikan lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada pengangkutan awam untuk menjimatkan kos.
“Justeru, kami menggalakkan pengenalan perkhidmatan yang menyediakan pilihan mobiliti lebih luas kepada pelanggan, selain menyelaraskan dengan mod pengangkutan lain seperti kereta api komuter untuk mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan kereta persendirian,” katanya selepas mencuba sendiri ciri Group Ride bersama beberapa pegawai kementerian di sini.
Sementara itu, Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Syukor berkata, penumpang Grab sebelum ini sememangnya sudah berkongsi perjalanan bagi menjimatkan tambang, khususnya dalam kalangan rakan sekerja dan rakan menghadiri acara sama.
Katanya, Group Ride diperkenalkan bagi meningkatkan kemampuan, kemudahan dan fleksibiliti kepada penumpang selain membantu mengoptimumkan penggunaan jalan raya, mengurangkan kesesakan serta menyokong sistem pengangkutan bandar lebih mampan.
“Bagi rakan pemandu pula, mereka mendapat manfaat daripada penggunaan masa yang lebih cekap dan pengurangan tempoh menunggu tempahan, di samping mengekalkan peluang pendapatan yang mampan,” katanya lagi.
Menurut Grab Malaysia, Group Ride membolehkan beberapa penumpang yang mempunyai laluan perjalanan sama berkongsi satu kenderaan, sekali gus mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya.
Antara ciri utama ditawarkan termasuk penjimatan sehingga 40 peratus tambang berbanding tempahan individu, pilihan pembayaran fleksibel sama ada dikongsi sama rata atau mengikut jarak perjalanan, serta laluan perjalanan lebih anjal melibatkan beberapa lokasi pengambilan dan destinasi penurunan.
Ciri itu turut menggunakan algoritma kecerdasan buatan (AI) proprietari Grab bagi memastikan laluan paling cekap dari segi masa untuk penumpang dan rakan pemandu, selain dilengkapi fungsi “Bilik Menunggu” yang membolehkan pengguna menjejak pergerakan kenderaan dan kesediaan penumpang secara masa nyata.
Dalam pada itu, Grab Malaysia memaklumkan aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan menerusi integrasi dengan infrastruktur keselamatan sedia ada termasuk Pusat Keselamatan, butang SOS “Dapatkan Bantuan Kecemasan” dan teknologi pemantauan perjalanan.
Ciri Group Ride kini diperkenalkan kepada pengguna yang layak menerusi aplikasi mudah alih Grab di seluruh negara sebagai pilihan mobiliti fleksibel untuk rakan, keluarga dan rakan sekerja bergerak bersama dengan lebih cekap.





