GrabCar langgar Akta Pekerja Gig dalam sistem tempahan dan peraturan pembatalan

LocalPolitics
9 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GrabCar langgar Akta Pekerja Gig dalam sistem tempahan dan peraturan pembatalan Image from: GrabCar langgar Akta Pekerja Gig dalam sistem tempahan dan peraturan pembatalan johardy09/11/2026 - 09:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

PUTRAJAYA 9 Nov - Tribunal Pekerja Gig (TPG) mendapati GrabCar Sdn Bhd melanggar Akta Pekerja Gig 2025 berhubung pengendalian sistem penerimaan tempahan automatik, penghentian sementara penerimaan tempahan dan kuota pembatalan tempahan, menurut Kementerian Sumber Manusia.

 

Kementerian itu dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, mekanisme “Auto Accept” dan “Fast Cancel” GrabCar didapati melanggar Seksyen 8(1)(b) dan (c) Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).

 

Peruntukan tersebut melindungi hak pekerja gig untuk mengetahui jenis perkhidmatan dan bayaran yang dipersetujui sebelum menerima sesuatu tugasan.

 

Dalam kes pertama itu, tribunal membenarkan sebahagian tuntutan kewangan pemandu yang melibatkan pendapatan tempahan Saver serta insentif “Cashback and Advance Booking”.

 

Dalam kes kedua, seorang lagi pemandu mengemukakan tujuh tuntutan bukan kewangan terhadap GrabCar. Tribunal mendapati tiga pelanggaran Akta 872 berkaitan penghentian sementara penerimaan tempahan, kuota pembatalan dan sistem “Auto Accept”.

 

GrabCar gagal jelaskan syarat dan kuota pembatalan

Tribunal mendapati penghentian sementara penerimaan tempahan serta kegagalan platform menjelaskan syarat dan tempoh pelaksanaannya melanggar Seksyen 8(1)(a) serta Seksyen 8(2)(a) dan (b) akta berkenaan.

 

GrabCar turut didapati gagal menjelaskan dengan terang cara kuota pembatalan ditetapkan, kesan apabila kuota itu dicapai dan pilihan yang tersedia kepada pemandu untuk membatalkan tempahan atas alasan munasabah. Kegagalan tersebut melanggar Seksyen 8(2)(a) dan (b).

 

Operasi sistem “Auto Accept” pula didapati melanggar Seksyen 8(1)(b) dan (c) kerana menyebabkan tempahan diterima sebelum pemandu dimaklumkan mengenai jenis perkhidmatan serta pendapatan yang ditawarkan.

 

Bagi kedua-dua kes, tribunal mengesyorkan penambahbaikan di bawah Subseksyen 42(3), termasuk memastikan pemandu mengetahui jenis perkhidmatan dan pendapatan sebelum menerima tempahan serta diberikan tempoh munasabah dan selamat untuk membuat pembatalan.

 

Tribunal turut mengesyorkan syarat lebih jelas mengenai penghentian sementara penerimaan tempahan, kuota pembatalan, program insentif dan sekatan tempahan, selain akses lebih baik kepada petugas sokongan platform serta semakan oleh manusia terhadap keputusan sistem automatik.

 

Semua kes berkenaan didengar Timbalan Presiden TPG, Dr Suzarika Sahak.

 

Penamatan akaun pemandu dikekalkan dalam kes berasingan

Dalam kes ketiga, tribunal mengekalkan keputusan GrabCar menyahaktifkan akaun seorang pemandu secara kekal selepas mendapati bukti tiga insiden salah laku terhadap penumpang, membabitkan perbualan tidak wajar, tingkah laku menakutkan atau mengancam serta soalan peribadi tanpa alasan munasabah.

 

Tribunal menolak tuntutan pemandu itu dengan menegaskan keselamatan dan kesejahteraan penumpang tidak boleh dikompromi, walaupun penyahaktifan akaun boleh menjejaskan mata pencariannya.

 

Kementerian itu berkata, ketiga-tiga keputusan mencerminkan pendekatan seimbang tribunal dalam mempertahankan hak pekerja gig, memastikan keselamatan penumpang dan melindungi kepentingan pengendali platform e-hailing.

 

Kementerian turut beriltizam memperkukuh penguatkuasaan Akta 872 melalui TPG sebagai mekanisme penyelesaian pertikaian yang bebas, adil dan berkesan bagi menyokong ekonomi gig yang lebih telus, mampan dan bertanggungjawab. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved