Graduan anak Sabah mampu penuhi pasaran pekerjaan

LocalPolitics
25 Sep 2025 • 4:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

MEMBAKUT: Golongan graduan anak Sabah keluaran institusi pengajian tinggi (IPT) diyakini mampu memenuhi keperluan pasaran pekerjaan di negeri ini sejurus tamat pengajian.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata sebahagian besar jurusan yang diambil menepati permintaan pekerjaan termasuklah bidang perguruan dan kemahiran.

“Anak-anak kita ramai memilih jurusan sesuai untuk masa depan mereka. Misalnya perguruan yang memang sangat diperlukan di Sabah seperti bidang Tvet serta lain-lain yang sudah tentu memenuhi permintaan pasaran pekerjaan.

“Kerajaan Negeri juga berusaha memastikan anak-anak kita yang tamat pengajian dapat berkhidmat untuk masyarakat di negeri ini,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Jejak Menara Gading Dun Membakut baru-baru ini.

Beliau mengulas kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku lambakan pengangguran lepasan universiti susulan ketiadaan peluang pekerjaan di Sabah yang menepati tahap pencapaian akademik.

Mengenai majlis itu Mohd Arifin yang juga wakil rakyat Membakut berkata program siri kedua tahun ini merupakan penganjuran kali ke-17 bagi meraikan bakal mahasiswa dari kawasan terbabit.

Menurutnya lebih 200 anak Membakut tahun ini menerima bantuan kewangan di bawah program tahunan itu yang disalurkan menerusi peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut.

“Ini cuma Dun Membakut di peringkat Kerajaan Negeri Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) turut menyediakan peruntukan besar untuk pelbagai bantuan pendidikan.

“Sebanyak RM1.3 bilion telah dibelanjakan bagi memastikan semua anak Sabah berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi tanpa sebarang halangan,” katanya.