Lebih RM1 juta bantu 177 anak Sabah ambil Sarjana, PhD

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2025 • 1:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Lebih RM1 juta dibelanjakan di bawah Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dalam tempoh dua tahun ini bagi membantu 177 orang anak Sabah menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Kedoktoran (PhD).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Pengerusi TPNS, Datuk Dr Ariffin Arif berkata, daripada jumlah itu, 107 orang di peringkat Sarjana manakala PhD seramai 70 orang.

Dalam tempoh sama, katanya, lebih RM17 juta dibelanjakan untuk membantu lebih 13,000 orang bagi pengajian ke peringkat Matrikulasi, Diploma, Sarjana Muda, Ijazah dan PhD.

“Bantuan ini hanya di bawah TPNS, belum merangkumi bantuan kerajaan negeri bagi 14 inisiatif pendidikan lainnya melibatkan peruntukan sebanyak RM80 juta dikelola Pejabat Tugas-Tugas Khas (PTTK).

“Tidak cukup dengan itu, Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), bantuan pendidikan di bawah Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) yang merangkumi semua peringkat pendidikan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan TPNS Bagi Pelajar Sarjana dan Kedoktoran di Wisma Bandaraya, di sini, Selasa.

Ariffin berkata, keseluruhan RM1.3 billion telah dibelanjakan kerajaan negeri bagi semua bantuan pendidikan ini untuk tempoh empat tahun sejak inisiatif itu dilancarkan pada 2021.

Menurutnya, ia antara usaha murni di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor untuk memperkasa dan membangunkan modal insan termasuk pendidikan anak-anak Sabah.

“Justeru, tiada alasan anak-anak kita enggan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan adanya segala peruntukan disediakan kerajaan untuk membantu mereka.

“Permohonan untuk bantuan ini juga mudah, boleh diakses melalui portal dalam talian yang telah disediakan sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, seramai 70 orang menerima bantuan TPNS bagi menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan Kedoktoran yang disampaikan Ariffin majlis tersebut.