
Seramai 174 mahasiswa daripada 13 politeknik seluruh negara menyertai Malaysian Polytechnic RELASIS Annual Camp (MalPRAC) 2026 yang menjadi platform membentuk graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdisiplin, berdaya tahan dan mempunyai ciri kepimpinan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata, pembangunan modal insan negara memerlukan mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik, kemahiran dan sahsiah.
Aminuddin berkata, mahasiswa hari ini perlu dipersiapkan dengan nilai kepimpinan, disiplin serta semangat cintakan negara bagi memastikan mereka mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
“Mahasiswa hari ini bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik dan kemahiran teknikal, tetapi juga perlu memiliki kekuatan sahsiah, disiplin tinggi serta semangat cintakan negara.
“Maka, penglibatan aktif dalam badan beruniform seperti Rela Siswa Siswi (RELASIS) mampu melahirkan graduan TVET yang holistik, kepimpinan dan berdaya tahan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan MalPRAC 2026 di Politeknik Nilai, hari ini.
Program anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) itu berlangsung selama enam hari bermula 9 hingga 14 Jun.
Bertemakan “RELASIS: Inspirasi Transformasi TVET MADANI Politeknik Malaysia”, program tersebut memberi penekanan terhadap pembentukan jati diri, seangat kesukarelawanan dan budaya kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa.
Aminuddin berkata, nilai yang diterapkan menerusi RELASIS selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan ihsan, kesejahteraan dan kebersamaan dalam masyarakat.
“Pengalaman yang diperoleh sepanjang program itu mampu membantu mahasiswa membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran kepimpinan dan memperkukuh semangat perpaduan,” katanya.
Sepanjang kem berlangsung, peserta mengikuti pelbagai aktiviti termasuk Kawad Tangan, Kembara Pandu Arah, Latihan Asas Menembak dan Pengendalian Senjata Api (LAMPSR), Khidmat Bakti RELA MADANI, Malam Silang
Budaya, Motivasi Boot Camp serta Kursus Pengurusan Senjata Api.
Sebanyak 13 politeknik terlibat dalam penganjuran kali ini iaitu Politeknik Nilai, Politeknik Kota Bharu, Politeknik Premier Port Dickson, Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah,
Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Politeknik Kuching Sarawak, Politeknik Ibrahim Sultan, Politeknik Merlimau Melaka, Politeknik Banting Selangor, Politeknik Muadzam Shah dan Politeknik Mersing Johor.
Program itu turut menyokong agenda JPPKK dalam melahirkan graduan TVET yang kompeten, berintegriti dan mempunyai nilai. _UTUSAN
The post Graduan TVET perlu kuasai kepimpinan, disiplin appeared first on Utusan Malaysia.


