
SERAMAI 236 graduan daripada pelbagai akademi, pusat latihan dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diraikan dalam Majlis TVET Graduasi 2026 yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor baru-baru ini.
Bukan sekadar meraikan kejayaan selepas menamatkan latihan dan pensijilan, majlis anjuran Persatuan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Malaysia (PPTVM) itu turut menjadi pentas mengetengahkan kepentingan kemahiran dalam membentuk tenaga kerja yang lebih bersedia menghadapi keperluan industri.
Presiden PPTVM, Dr. Lisa Boo Kim Hiok berkata, persatuan itu terus komited membangunkan ekosistem TVET menerusi latihan kemahiran, pensijilan profesional, pembangunan tenaga pengajar serta kerjasama strategik dengan institusi pendidikan, industri dan agensi berkaitan.
Sejak ditubuhkan pada 2021, PPTVM telah berkembang dengan membangunkan 98 bidang pengajian, menyediakan sebanyak 6,500 tempat pembelajaran serta membantu pembangunan dan inkubasi 175 institusi dan syarikat.
“Pencapaian itu memperlihatkan usaha berterusan persatuan dalam membuka lebih banyak ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan pendidikan, latihan dan pengiktirafan kemahiran yang boleh dimanfaatkan dalam dunia pekerjaan.
“Bagi memperkukuh gerakan ini, PPTVM merancang memperluas rangkaiannya menerusi penubuhan cawangan di seluruh negara, selain membangunkan cawangan di luar negara serta memperkasa pensijilan tenaga pengajar sehingga tahun hadapan.
“Langkah itu dilihat penting bagi memastikan akses kepada pendidikan TVET dapat diperluaskan, di samping melahirkan lebih ramai tenaga pengajar dan profesional industri yang mempunyai kelayakan serta kemahiran bersesuaian dengan keperluan semasa,” katanya.

Majlis yang diadakan dengan kerjasama Shang Philosophy Group itu turut dihadiri Pengerusi OE EduGroup, Datuk Wira Dr. Calvin Khiu; Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Pahat, Felicia Poh Rui Ling serta wakil Jabatan Pembangunan Kemahiran, Norazuri Yusoff.
Turut hadir ialah wakil UTHM, Prof. Madya Ts. Dr. Aini Nazura Paimin, Prof Madya Ts. Dr. Mohd. Hisyam dan Prof Madya Dr. Ng Chuan Huat, selain wakil International Business Alliance, Hong Kean Kok serta barisan ahli Majlis PPTVM.
Dalam suasana penuh bermakna itu, majlis turut menyaksikan Pelantikan PPTVM Sesi 2026/2027 yang menjadi simbolik kepada permulaan baharu kepimpinan persatuan dalam meneruskan agenda memperkukuh ekosistem TVET di negara ini.
Jelas Lisa lagi, seramai 236 graduan yang diraikan hadir daripada pelbagai institusi, antaranya MARQ Academy Sdn. Bhd., LSP Proskill Academy, Jue Li Aesthetic Centre, Online Beauty, EZ Pro Business Academy PLT, Grand Floral
Art Studio Sdn. Bhd., Asia Ocean Academy (M) Sdn. Bhd. dan Professional Skill Training Centre.
Turut terlibat ialah AK Creative Academy, Chris Beauty Professional Makeup serta Beauty Bride and Wedding Services.
Menariknya, majlis itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada Ng Hong Jun, yang juga merupakan graduan bidang nyanyian.
Persembahan itu menjadi simbol bahawa pendidikan berasaskan kemahiran bukan sahaja melahirkan individu berpengetahuan, malah mampu membina bakat, keyakinan dan kebolehan untuk diketengahkan kepada masyarakat.
Dengan tema ‘With Love We Cooperate, With Unity We Serve Society’, majlis berkenaan membawa mesej bahawa pembangunan TVET memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
Bagi PPTVM, usaha memperkasakan pendidikan teknikal dan vokasional bukan sekadar melahirkan pekerja berkemahiran, malah membina masyarakat yang lebih berdaya saing melalui peluang pendidikan dan pengiktirafan profesional lebih inklusif.
Pada masa sama, PPTVM menyeru lebih ramai pakar industri, tenaga pengajar, wakil syarikat dan profesional pelbagai bidang untuk bersama-sama menjayakan dua inisiatif utama persatuan iaitu projek merekrut 100 HRDC Trainer di Malaysia serta projek inkubasi TVET Circle.
“Melalui TVET Circle, persatuan menyasarkan pembentukan lebih ramai pemeriksa dan penilai industri yang mampu memainkan peranan dalam memperkukuh proses latihan, penilaian serta pengiktirafan kemahiran secara lebih tersusun.
“Usaha tersebut juga membuka peluang kepada golongan yang sudah berada dalam alam pekerjaan untuk meningkatkan kelayakan menerusi diploma profesional dan pensijilan kemahiran tanpa mengetepikan pengalaman serta kepakaran telah dimiliki,” katanya.
The post 236 graduan dirai, PPTVM komited bangunkan ekosistem TVET appeared first on Kosmo Digital.






