Greater Bay Area tawar pelbagai destinasi ideal untuk percutian mudah, lancar

Business & Finance
14 Aug 2026 • 1:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Greater Bay Area tawar pelbagai destinasi ideal untuk percutian mudah, lancar
Dari kiri, Huang Xi Zhong, Anthony dan Maria Helena ketika perasmian Majlis 'Greater Bay Area – Connecting Great Experiences'

HONG Kong Tourism Board (HKTB) bersama Department of Culture and Tourism of Guangdong Province and Macao Government Tourism Office (MGTO) memperkenalkan Greater Bay Area sebagai destinasi ideal untuk percutian pelbagai destinasi yang mudah dan lancar.

Merangkumi sembilan bandar di Wilayah Guangdong bersama Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong dan Macao, Greater Bay Area menawarkan peluang kepada pelancong untuk menikmati kepelbagaian budaya, makanan serta tarikan pelancongan dalam satu perjalanan yang saling berhubung dengan lancar.

Diadakan setiap tahun di pasaran antarabangsa yang berbeza, acara promosi pelancongan Greater Bay Area tahun ini memilih Malaysia sebagai pasaran tuan rumah, mencerminkan kepentingan Malaysia yang semakin meningkat sebagai pasaran pelancongan keluar negara.

Pengarah Eksekutif HKTB, Anthony Lau berkata, Malaysia terus menjadi pasaran pelancong yang penting bagi pihaknya.

Menurutnya, kini, pelancong semakin cenderung memilih percutian yang mudah dirancang tetapi kaya dengan pelbagai pengalaman, dan Greater Bay Area memenuhi keperluan tersebut menerusi jaringan pengangkutan yang cekap serta destinasi yang saling melengkapi.

"Hong Kong berada pada kedudukan strategik sebagai pintu masuk kepada pelbagai pengalaman pelancongan di China. Dengan adanya Kereta Api Berkelajuan Tinggi (High-Speed Rail) dan Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macao, destinasi berhampiran di Greater Bay Area boleh dikunjungi dengan mudah, malah perjalanan ke kebanyakannya mengambil masa kurang daripada satu jam.

"Melalui kerjasama erat bersama rakan kami di Guangdong dan Macao serta industri pelancongan Malaysia, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai pelancong menikmati pelbagai pengalaman menarik dalam satu perjalanan," katanya dalam kenyataan sempena Majlis 'Greater Bay Area – Connecting Great Experiences', di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Bagi mempertingkatkan lagi pengalaman perjalanan rakyat Malaysia, HKTB juga menjalin kerjasama strategik bersama AirAsia dan tujuh ejen pelancongan yang mengambil bahagian bagi memperkenalkan pakej pelancongan Greater Bay Area serta pelbagai tawaran promosi.

Inisiatif tersebut bertujuan memudahkan pelancong menerokai pelbagai destinasi dalam satu perjalanan.

Dalam pada itu, Pegawai Bertaraf Biro Tahap II, Department of Culture and Tourism of Guangdong Province, Huang Xi Zhong berkata, Greater Bay Area menghimpunkan bandar-bandar yang masing-masing memiliki identiti tersendiri, daripada inovasi dan teknologi kepada sejarah, budaya serta gastronomi tempatan.

"Kepelbagaian ini membolehkan pelancong menikmati pengalaman berbeza di setiap destinasi sambil menikmati perjalanan yang mudah dalam satu wilayah yang saling berhubung," katanya.

Sementara itu, Pengarah, Macao Government Tourism Office, Maria Helena de Senna Fernandes pula berkata, sebagai salah satu bandar utama di Greater Bay Area, Macao menawarkan gabungan unik antara budaya Timur dan Barat, selain memiliki dua pengiktirafan bertaraf antarabangsa, Pusat Bersejarah Macao yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO.

"Bersama-sama Hong Kong dan Guangdong, Macao melengkapi keistimewaan yang ditawarkan oleh destinasi-destinasi berdekatan untuk mewujudkan pengalaman perjalanan yang lebih pelbagai dan bermakna," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved