
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hong Kong Tourism Board (HKTB) bersama Department of Culture and Tourism of Guangdong Province dan Macao Government Tourism Office (MGTO) telah memperkenalkan Greater Bay Area sebagai destinasi ideal untuk percutian pelbagai destinasi yang mudah dan lancar.
Acara promosi pelancongan Greater Bay Area tahunan yang diadakan di pasaran antarabangsa berbeza, kali ini berlangsung di Malaysia mencerminkan kepentingan negara ini yang semakin meningkat sebagai pasaran pelancongan keluar negara.
Acara ini menghimpunkan rakan industri pelancongan Malaysia, syarikat penerbangan, pihak berkepentingan dalam industri pelancongan serta wakil media bagi mengukuhkan kerjasama pelancongan, di samping memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menerokai Greater Bay Area melalui perjalanan yang menghubungkan pelbagai destinasi.
Acara ini turut menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama antara organisasi pelancongan dari Hong Kong, Guangdong dan Macao dengan industri pelancongan Malaysia menerusi sesi networking.
Menurut Pengarah Eksekutif Hong Kong Tourism Board Anthony Lau, Malaysia terus menjadi pasaran pelancong yang penting bagi pihaknya.
“Kami amat berbesar hati membawa acara promosi pelancongan Greater Bay Area tahun ini ke sini. Kini, pelancong semakin cenderung memilih percutian yang mudah dirancang tetapi kaya dengan pelbagai pengalaman, dan Greater Bay Area memenuhi keperluan tersebut menerusi jaringan pengangkutan yang cekap serta destinasi yang saling melengkapi.
“Hong Kong berada pada kedudukan strategik sebagai pintu masuk kepada pelbagai pengalaman pelancongan di China. Dengan adanya Kereta Api Berkelajuan Tinggi (High-Speed Rail) dan Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macao, destinasi berhampiran di Greater Bay Area boleh dikunjungi dengan mudah, malah perjalanan ke kebanyakannya mengambil masa kurang daripada satu jam.
“Melalui kerjasama erat bersama rakan kami di Guangdong dan Macao serta industri pelancongan Malaysia, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai pelancong menikmati pelbagai pengalaman menarik dalam satu perjalanan.”
Sementara itu, Pegawai Bertaraf Biro Tahap II, Department of Culture and Tourism of Guangdong Province, Huang Xi Zhong berkata Greater Bay Area menghimpunkan bandar-bandar yang masing-masing memiliki identiti tersendiri, daripada inovasi dan teknologi kepada sejarah, budaya serta gastronomi tempatan.
“Kepelbagaian ini membolehkan pelancong menikmati pengalaman berbeza di setiap destinasi sambil menikmati perjalanan yang mudah dalam satu wilayah yang saling berhubung.
“Kami berharap untuk terus memperkukuh kerjasama dengan industri pelancongan Malaysia serta mengalu-alukan lebih ramai pelawat untuk meneroka pelbagai pengalaman pelancongan yang ditawarkan oleh Guangdong, Hong Kong dan Macao, serta merasai kemeriahan dan dinamisme yang menjadi nadi Greater Bay Area.”
Menurut Pengarah Macao Government Tourism Office, Maria Helena de Senna Fernandes pula, pelancong masa kini semakin mengutamakan pengalaman perjalanan yang lebih bermakna.
“Sebagai salah satu bandar utama di Greater Bay Area, Macao menawarkan gabungan unik antara budaya Timur dan Barat, selain memiliki dua pengiktirafan bertaraf antarabangsa, iaitu Pusat Bersejarah Macao yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO.
“Bersama-sama Hong Kong dan Guangdong, Macao melengkapi keistimewaan yang ditawarkan oleh destinasi-destinasi berdekatan untuk mewujudkan pengalaman perjalanan yang lebih pelbagai dan bermakna.
“Melalui kerjasama yang lebih erat antara ketiga-tiga destinasi ini, kami mengalu-alukan lebih ramai pelancong dari Malaysia untuk meneroka Greater Bay Area menerusi perjalanan ke pelbagai destinasi, di samping menikmati kekayaan dan kepelbagaian tarikan pelancongan yang ditawarkan.”
Bersama-sama, ketiga-tiga destinasi ini menawarkan pengalaman pelancongan pelbagai destinasi yang menarik, membolehkan pelawat menikmati yang terbaik di Greater Bay Area dalam satu perjalanan yang tidak dapat dilupakan.






