
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dijadual berucap kepada lebih 3,000 perwakilan dan pemerhati pada Konvensyen GRS 2026 di Kudat esok (Ahad), yang antara lain bertujuan mempersiapkan gabungan itu untuk memenangi sekurang-kurangnya 16 daripada 26 kerusi Parlimen.
“Walaupun GRS diberi mandat untuk kembali memerintah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) November tahun lepas, konvensyen ini juga bertujuan mengingatkan bahawa GRS tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian lalu, sebaliknya terus bekerja keras demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Kerjasama dan perpaduan dalam kalangan parti komponen GRS serta rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan Negeri amat penting bagi memastikan kemenangan besar GRS pada pilihan raya umum akan datang,” kata Hajiji yang juga Pengerusi GRS dan Presiden PGRS.
Konvensyen sulung itu akan berlangsung di Dewan Tun Mustapha, Kudat, dengan penyertaan perwakilan dan pemerhati yang mewakili kesemua 26 kawasan Parlimen di Sabah, termasuk Labuan.
Hajiji berkata pemilihan lokasi itu dibuat susulan keputusan Majlis Tertinggi GRS supaya konvensyen berkenaan diadakan secara bergilir-gilir di daerah lain dan tidak tertumpu di Kota Kinabalu sahaja.
Selain ucapan dasar Hajiji, enam Timbalan Pengerusi GRS turut menyampaikan ucapan. Mereka mewakili kepimpinan utama enam parti komponen GRS, iaitu PGRS, PBS, PCS, LDP, PHRS dan Upko.
Hajiji berkata konvensyen itu akan menghimpunkan kepimpinan pusat dan pemimpin utama bahagian bagi sesi perbincangan serta perkongsian yang berfokus pada dua perkara.
Fokus pertama ialah strategi politik bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Fokus kedua ialah menilai kemajuan agenda pembangunan untuk rakyat dan negeri di bawah Manifesto GRS, khususnya melalui pelaksanaan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Beliau berkata rakan GRS dalam kerajaan negeri juga dijangka menunjukkan prestasi baik dan memenangi lebih banyak kerusi supaya suara Sabah dapat didengari di Parlimen.
Hajiji menambah bahawa dinamik politik di Sabah memihak kepada GRS dan gabungan itu akan menghadapi pilihan raya umum dengan penuh keyakinan untuk meraih kepercayaan pengundi.
Pemilihan Kudat dilihat ramai pihak sebagai petanda keyakinan GRS untuk merampas kerusi Parlimen Kota Marudu dan Kudat, yang masing-masing disandang Parti KDM dan seorang Ahli Parlimen Bebas. Kedua-dua penyandang itu tewas kepada calon GRS pada PRN November tahun lepas.






