GRS sokong Muhyiddin jadi PM. "Bung: BN Sabah ikut keputusan BN Pusat"

Politics
22 Nov 2022 • 1:22 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) Sabah akan menyokong mana-mana gabungan yang bakal diputuskan oleh BN pusat untuk membentuk kerajaan Persekutuan, kata Pengerusinya Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata BN Sabah membuat keputusan itu kerana mahu memastikan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan dan seterusnya mewujudkan kestabilan di negara ini.

“Kita akan ikut keputusan parti (BN pusat) bagaimana, kita kena utamakan kestabilan kerajaan (Persekutuan) dan negara ini dahulu,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Mengulas tindakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyatakan sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri, Bung Moktar berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan rakan kerjasamanya dalam kerajaan Sabah itu.

“Kita akan bincang dengan GRS selepas selesai penubuhan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, BN Sabah memenangi tujuh daripada 12 kerusi Parlimen yang ditandinginya.

Sementara itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Isnin menyatakan pendirian untuk menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri, kata Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Menteri Sabah itu berkata GRS juga bersetuju untuk membentuk kerajaan Persekutuan bersama PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti lain yang bersedia bekerjasama untuk tujuan itu.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Muhyiddin dalam satu pertemuan dengan pemimpin GRS di Kuala Lumpur Ahad lepas yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi GRS Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

“GRS berpandangan adalah perlu pembentukan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan pada kadar segera untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi sepenuhnya, khususnya dalam memuktamadkan penggubalan belanjawan untuk 2023.

“GRS sentiasa komited untuk membawa citra kesatuan demi kepentingan rakyat dan tanah air,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, GRS memenangi enam kerusi Parlimen daripada 13 kerusi yang ditandingi parti itu di Sabah manakala Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mempertahankan Parlimen Beluran atas tiket PN.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.