GSF 2.0: SNCC terputus hubungan dengan peserta ditahan tentera laut rejim Zionis

20 May 2026 • 3:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: GSF 2.0: SNCC terputus hubungan dengan peserta ditahan tentera laut rejim Zionis
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby. Foto Fail Bernama

SEPANG, 20 April (Bernama) -- Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) belum menerima sebarang perkembangan mutakhir mengenai kesemua peserta Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 yang ditahan tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) pada Isnin dan Selasa.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat terkini mengenai nasib kesemua aktivis berkenaan.

"Kami belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai nasib ratusan aktivis kemanusiaan kita walaupun penahanan sudah dibuat hampir 48 jam.

"Boleh jadi mereka dipukul, boleh jadi mereka berhadapan dengan tindakan agresif. Saya kira masa ini adalah masa yang sangat penting dan jika dalam tempoh 48 jam tidak ada maklumat (rasmi) pendaratan di Pelabuhan Ashdod. Saya kira ini adalah satu insiden yang perlu dunia ambil peduli dan masuk campur," katanya pada sidang media perkembangan Misi GSF 2.0 di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan misi GSF 2.0 memasuki fasa akhir apabila sebanyak 54 kapal mula berlepas dari Pelabuhan Marmaris, Turkiye menuju ke Gaza, manakala SNCC turut mengemas kini radius garisan zon kuning dan merah berdasarkan analisis risiko keselamatan terkini di kawasan operasi.

Sani Araby berkata pihaknya dimaklumkan peserta misi itu dipercayai ditempatkan di "penjara atas kapal" sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod, namun setakat ini maklumat rasmi masih sangat terhad.

"Seperti tahun lepas, SOP (prosedur operasi standard) yang telah kita latih, apabila sampai waktu genting terakhir, mereka telah disuruh untuk membuang telefon bimbit untuk elak daripada dirampas. Jadi untuk menjawab soalan ini, apabila mereka diculik, kita secara penuh terputus hubungan dengan semua delegasi Malaysia dan delegasi dunia," katanya.

Beliau berharap komuniti antarabangsa termasuk badan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Israel memberi akses maklumat serta menjamin keselamatan semua aktivis kemanusiaan itu.

"Kami menuntut ketelusan dan jaminan keselamatan kepada semua aktivis kemanusiaan yang menyertai misi ini. Mereka berada di sana atas dasar kemanusiaan, bukannya ancaman ketenteraan," katanya.

Sani Araby berkata, pencabulan Israel berlaku ketika dunia menyaksikan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sedang mengeluarkan waran tangkap ke atas lima pimpinan tertinggi Israel termasuk menteri serta komander IOF atas kesalahan jenayah perang.

"Ini membuktikan secara perundangan global bahawa delegasi kita kini dipaksa tunduk di bawah cengkaman sebuah gerombolan penjenayah perang yang diburu dunia," katanya.- Bernama