GSF: Malaysia berkerjasama dengan negara sahabat, pastikan 10 rakyat dibebaskan rejim Zionis - PM

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 6:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar turut mengutuk tindakan ganas rejim Israel terhadap misi kemanusiaan itu di perairan antarabangsa.

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotila 2.0 (GSF) yang ditahan oleh rejim Zionis dibebaskan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengutuk tindakan ganas rejim Israel terhadap misi kemanusiaan itu di perairan antarabangsa, iaitu satu pelanggaran nyata undang-undang maritim dan menyerupai tindakan lanun yang mencemari prinsip kemanusiaan sejagat.

"Malaysia mendesak agar semua pihak bertindak dengan segera dan memastikan tiada sebarang tindakan keras dikenakan terhadap semua para aktivis, termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini ditahan dan terputus hubungan. 

"Keselamatan mereka mesti dijamin tanpa kompromi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Anwar, yang juga Penaung Sumud Nusantara berkata, dalam situasi getir ini, ihsan serta kemanusiaan harus mengatasi segala perbezaan dan Malaysia akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip tersebut.

"Kepada ALLAH SWT kita berserah, disulam dengan usaha menyeluruh yang sedang digerakkan, semoga kesemua mereka berada dalam keadaan selamat. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi Global Sumud Flotilla," kata beliau.

Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) pada Khamis mengesahkan enam daripada 22 kapal yang dipintas dan diceroboh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza melibatkan 10 rakyat Malaysia.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, mereka ialah Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1) serta Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN). 

Yang turut terlibat ialah Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai II). - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved