SHAH ALAM - Kaukus Palestin Parlimen Malaysia mengecam tindakan biadab rejim Zionis memintas, menahan dan menculik anak-anak kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 di perairan antarabangsa pada awal pagi Khamis.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, insiden tersebut jelas mencabuli undang undang antarabangsa di mana ia berlaku ketika 57 kapal GSF termasuk tiga bot pengiring berada berhampiran Kepulauan Crete, Greece, kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza, Palestin.
Justeru, kata Syed Ibrahim, pihaknya mendesak supaya Zionis Israel menghentikan tindakan pencabulan dan lanun mereka serta membebaskan kesemua anak kapal yang diculik.
"Kaukus Palestin Parlimen Malaysia juga meminta rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk mengutuk tindakan kejam itu.
"Kami mengusulkan supaya Ahli Parlimen Malaysia dan seluruh dunia bersatu suara mengutuk tindakan melampau pencabulan undang-undang antarabangsa oleh rejim Israel.
"Kerajaan Malaysia digesa untuk mengambil langkah sewajarnya dengan segera untuk keselamatan anak kapal warga Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 10 rakyat Malaysia antara 186 peserta terputus hubungan pada hari ke-18 misi kemanusiaan GSF 2.0.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan, sebanyak 22 dari keseluruhan 63 kapal dilaporkan dipintas pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean berhampiran Kepulauan Crete.
Menurut beliau, kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia apabila kapal-kapal yang berada kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza dihampiri secara agresif oleh pasukan tentera Israel.
Jelasnya lagi, berlaku provokasi di mana Angkatan Pertahanan Israel (IDF) melepaskan tembakan amaran ke atas kapal delegasi selain melakukan gangguan frekuensi radio serta mengancam aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata.






