SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk tindakan ganas rejim Israel yang mengganggu misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF) di perairan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak digesa bertindak dengan segera dan memastikan tiada sebarang kekejaman dilakukan terhadap para aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini ditahan serta terputus hubungan pada Khamis.
“Ia merupakan satu pelanggaran nyata undang-undang maritim dan menyerupai tindakan lanun yang mencemari prinsip kemanusiaan sejagat.
“Keselamatan mereka mesti dijamin tanpa kompromi. Kerajaan Madani sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan negara sahabat bagi memastikan mereka dibebaskan dengan segera,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 10 rakyat Malaysia antara 186 peserta terputus hubungan pada hari ke-18 misi kemanusiaan GSF pada Khamis.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, sebanyak 22 daripada keseluruhan 63 kapal dilaporkan dipintas pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean berhampiran Kepulauan Crete, Greece.
Ujar Anwar, dalam keadaan getir seperti ini, nilai ihsan dan kemanusiaan perlu mengatasi segala perbezaan politik serta geopolitik.
“Malaysia akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip tersebut. Kepada ALLAH SWT kita berserah, disulam dengan usaha menyeluruh yang sedang digerakkan, semoga semua berada dalam keadaan selamat.
“Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi GSF,” ujarnya.






