
KUALA LUMPUR - Global Sumud Flotilla (GSF) adalah misi kemanusiaan yang murni, kerana ia digerakkan untuk membantu rakyat Palestin di Gaza, selepas sekian lama dizalimi rejim Zionis.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, misi disertai 23 sukarelawan dan aktivis Malaysia itu memfokus kepada satu tujuan utama iaitu menghulurkan sumbangan kepada penduduk Palestin yang kelaparan termasuk golongan warga emas, wanita serta kanak-kanak.
Titah baginda, semua sukarelawan yang terlibat di dalam GSF termasuk rakyat Malaysia sanggup menggalas risiko dan cabaran demi membawa mesej kemanusiaan ke peringkat antarabangsa.
Misi GSF ini titah baginda lagi, adalah contoh semangat persaudaraan tanpa batas dalam membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
“Mereka hanya dalam misi kemanusiaan membawa bekalan makanan, namun dihalang dan ditahan. Ini bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat.
“Pada hari ini, saya mendapatkan taklimat terkini mengenai perkembangan semasa GSF termasuk usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh Malaysia dalam membebaskan sukarelawan kita,” titah baginda.
Menerusi hantaran di Facebook, Sultan Ibrahim turut mendoakan agar misi kerajaan membantu semua sukarelawan yang ditahan Zionis dipermudah Allah SWT.
“Semoga setiap usaha murni yang sedang dilakukan serta digerakkan kerajaan dalam membantu sukarelawan rakyat kita dipermudahkan dan dilindungi Allah Subhanahu Wa Ta’ala,” titah Seri Paduka.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku di sini.
Hadir sama ialah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Setakat semalam, lebih 450 aktivis GSF termasuk 23 rakyat Malaysia telah ditahan tentera Zionis, apabila kapal yang mereka naiki dipintas di perairan antarabangsa.
Tindakan Israel itu jelas melanggar peruntukan perundangan kerana perairan antarabangsa bukan milik mana-mana negara.
Israel sebelum ini dilaporkan berulang kali memberi amaran agar kesemua 42 kapal yang mahu memecahkan kepungan ke atas Gaza itu tidak meneruskan pelayaran, atau berdepan tindakan ketenteraan. - Getaran, 3 Oktober 2025

