
Isteri kepada sukarelawan misi Global Sumud Flotilla, Zulfadli Khiruddin, meluahkan kerinduan dan kebimbangan apabila hampir 48 jam tidak menerima sebarang khabar daripada suaminya.
Menerusi hantaran di media sosial, Yatt Hamzah berkongsi tangkap layar mesej yang dihantar kepada Zulfadli, menitipkan doa dan pengharapan agar suaminya itu berada dalam keadaan selamat.
“It’s been almost 48 hours sy (saya) tak dgr (dengar) khabar dr (dari) B… but my sharp instinct says you’re somewhere safe,” tulisnya.

Jelas Yatt, anak-anak turut merindui kepulangan bapa mereka.
Beliau juga menyatakan harapan untuk menyambut kepulangan suaminya dengan menyediakan pelbagai hidangan kegemaran, selain mengingatkan Zulfadli agar tidak lupa berzikir sepanjang misi.
“Anak-anak dah rindu. Just be safe ya. Till we see you again In Shaa Allah,” tulisnya di Instagram.
Zulfadli merupakan antara 23 rakyat Malaysia yang ditahan tentera laut Israel ketika dalam pelayaran membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Misi Global Sumud Flotilla disertai lebih 450 aktivis antarabangsa dari pelbagai negara, dan sehingga kini usaha diplomatik sedang digerakkan bagi memastikan keselamatan semua sukarelawan. - Getaran, 3 Oktober 2025

