amree13/11/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Nov — Kerajaan hanya akan mempertimbangkan pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) setelah pendapatan minimum rakyat mencapai RM4,000 bagi memastikan sistem percukaian itu tidak menambah beban kewangan isi rumah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan GST pada ketika tahap pendapatan rakyat masih lagi rendah dilihat sebagai tidak bersesuaian meskipun cukai berkenaan berpotensi menjana hasil yang lebih tinggi kepada kerajaan sendiri.
"Sekiranya pendapatan minimum rakyat mencapai RM4,000, kita boleh pertimbangkan kerana walaupun kadar lebih rendah, ia tidak dianggap terlalu membebankan dan kita dapat memastikan hasil lebih baik," jelas beliau pada sesi pertanyaan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Howard Lee (PH-Ipoh Timur) mengenai potensi GST menjana hasil lebih tinggi berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi mengurangkan hutang negara, membiayai pembangunan serta memberi manfaat kepada perniagaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan namun menegaskan, kerajaan tidak berhasrat memperkenalkan semula GST pada ketika ini kerana pendekatan SST lebih tertumpu kepada perniagaan, manakala GST pula melibatkan pengguna secara lebih meluas.
Menurut beliau lagi, hasil SST ketika ini adalah bersamaan kira-kira 3.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu setara dengan hasil GST yang pernah direkodkan pada 2017.

Beliau berkata, SST turut mengecualikan kira-kira 2,000 barangan berbanding sekitar 750 barangan di bawah GST, manakala sistem GST pada 2018 melibatkan kira-kira 700,000 perniagaan berbanding hanya 130,000 di bawah SST ketika ini.
"Isu cukai berganda dalam pelaksanaan SST boleh ditangani menerusi pelarasan tertentu, sambil menegaskan pendirian kerajaan dibuat berdasarkan kebimbangan terhadap kesannya kepada rakyat dan bukannya pertimbangan politik," tegas Anwar.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan terus mengurangkan jumlah pinjaman meskipun perbelanjaan meningkat bagi menyokong rakyat dan penjawat awam.
Peruntukan yang disediakan itu termasuk sebanyak RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), RM18 bilion untuk kenaikan gaji penjawat awam serta lebih RM40 bilion bagi subsidi bahan api.
Beliau berkata jumlah pinjaman kerajaan menurun daripada RM100 bilion pada 2021 dan 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023, RM76.8 bilion pada 2024 dan RM75.6 bilion pada 2025.
Anwar turut memaklumkan defisit fiskal negara menyusut daripada 6.4% pada 2021 kepada unjuran 3.3% pada 2027, manakala nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK dijangka menurun daripada 65.2% kepada 64% pada 2026 dan 63.7% pada 2027. - DagangNews.com






