Tiada bukti cip AI Nvidia dieksport dari Malaysia dalam kes Megaspeed – PM Anwar

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tiada bukti cip AI Nvidia dieksport dari Malaysia dalam kes Megaspeed – PM Anwar Image from: Tiada bukti cip AI Nvidia dieksport dari Malaysia dalam kes Megaspeed – PM Anwar amree13/11/2026 - 15:20 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov — Malaysia setakat ini tidak mempunyai sebarang petunjuk bahawa cip kecerdasan buatan (AI) berkaitan isu Nvidia-Megaspeed telah dieksport dari negara ini, sekali gus menunggu hasil semakan pihak berkuasa berhubung dakwaan berkenaan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah dimaklumkan mengenai perkembangan isu tersebut menerusi laporan yang disediakan sendiri oleh pihak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada pagi Jumaat.

 

Bagaimanapun beliau berkata, Malaysia akan memberikan kerjasama kepada semua agensi yang berkaitan bagi memastikan segala siasatan terhadap isu berkenaan dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.

 

“Setakat ini, tiada sebarang petunjuk mengenai perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah, Brickfields, di Kuala Lumpur pada Jumaat.

 

Anwar turut mengesahkan Malaysia belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan Singapura atau Amerika Syarikat (AS) berhubung siasatan kes Nvidia-Megaspeed itu.

 

Malaysia namun bersedia bekerjasama dengan pihak berkaitan sambil memastikan semua aktiviti perdagangan dan pelaburan yang dijalankan di negara ini mematuhi peraturan yang ditetapkan.

 

semikonduktor_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

Dalam kenyataan berasingan, MITI menjelaskan pihaknya tidak pernah meluluskan sebarang urusan kepada syarikat berpangkalan di Singapura, Megaspeed International Pte Ltd atau sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd.

 

Menurut kementerian itu, Speedmatrix merupakan penyewa di pusat data (DC) di Malaysia dan membawa masuk pelayan serta cip AI miliknya sendiri ke negara ini bagi menjalankan operasi.

 

"MITI kini bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk menentukan sama ada cip berkenaan pernah dieksport semula ke negara lain dan, jika berlaku, sama ada urusan itu mematuhi undang-undang Malaysia," jelas kenyataan tersebut.

 

Di samping itu, kementerian berkenaan menjelaskan, pada ketika ini tiada sebarang permit atau lesen yang diperlukan untuk membawa masuk cip AI ke Malaysia. 

 

Namun, sejak Julai 2025, sebarang aktiviti eksport, eksport semula, pemindahan kapal atau transit cip AI berprestasi tinggi dari AS melalui Malaysia memerlukan permit MITI di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010.

 

Ia turut mengingatkan bahawa pemberian maklumat palsu kepada pihak JKDM berhubung barangan berkenaan merupakan kesalahan serius di bawah Akta Kastam 1967.

 

"Malaysia akan menjalankan semakan secara bebas berdasarkan undang-undang negara dan bukti yang tersedia bagi memastikan sebarang pelanggaran peraturan dapat dikenal pasti," kata MITI. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved