GTA Holdings rancang wujudkan Pusat Kecemerlangan selepas disenaraikan di Bursa

LocalBusiness & Finance
7 Sep 2026 • 10:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GTA Holdings rancang wujudkan Pusat Kecemerlangan selepas disenaraikan di Bursa Image from: GTA Holdings rancang wujudkan Pusat Kecemerlangan selepas disenaraikan di Bursa liza07/09/2026 - 10:21

KUALA LUMPUR 7 Sept – GTA Holdings Bhd (GTA) mahu memanfaatkan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia sebagai pemangkin untuk membangunkan keupayaan teknologi dan penyelidikan sendiri menerusi penubuhan Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa.

 

Pusat berkenaan akan menjadi sebahagian daripada rancangan pembangunan GTA selepas penyenaraian dengan tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan serta peningkatan kemahiran teknologi bagi mengukuhkan kedudukan syarikat dalam industri MRO.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata langkah itu akan membolehkan syarikat bergerak lebih jauh sebagai pemain teknologi dalam sektor berkenaan, dengan sokongan rakan pengeluar peralatan asal (OEM).

 

Menurutnya, GTA bukan sekadar mahu memperluas perkhidmatan MRO, sebaliknya membangunkan kepakaran tempatan yang lebih khusus bagi mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar, terutama dalam bidang berkaitan industri pertahanan.

 

Beliau berkata, usaha itu juga seiring dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (NDIP) yang menggalakkan pembangunan keupayaan tempatan dan pemindahan teknologi bagi meningkatkan tahap kemandirian Malaysia dalam sektor pertahanan.

 

Ke Arah Teknologi MRO Bernilai Tinggi

GTA turut meneroka pelaburan dalam kemudahan ujian Tahap 4 (Level 4 test bench) serta peralatan berkaitan, termasuk Unit Hidromekanikal (Hydromechanical Unit atau HMU) yang digunakan pada enjin helikopter.

 

HMU berfungsi mengawal aliran minyak ke dalam turbin enjin dan merupakan komponen yang memerlukan kepakaran teknikal khusus. 

 

Menurut Nonee Ashirin, keupayaan seperti itu lazimnya dikekalkan oleh OEM kerana tidak semua pengeluar sanggup memindahkan kepakaran tersebut kepada pihak ketiga.

 

“GTA kini masih berunding bagi mendapatkan keupayaan berkenaan dan belum menetapkan nilai pelaburan yang akan dibuat,” katanya.

 

Pada masa sama, GTA mahu memperluas skop perkhidmatan MRO kepada komponen lain termasuk gear pendaratan, roda dan brek yang akan membuka ruang kepada syarikat untuk menawarkan lebih banyak keupayaan teknikal kepada pelanggan.

 

Langkah memperluas kepakaran itu turut disokong usaha GTA meningkatkan pembangunan modal insan kerana syarikat memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri aeroangkasa dan pertahanan yang semakin berkembang.

 

Pengalaman Dengan MINDEF Jadi Asas Kukuh

Dalam sektor pertahanan, hubungan GTA dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjadi antara asas penting kepada pengembangan syarikat apabila GTA sudah mempunyai pengalaman lebih sedekad menyediakan perkhidmatan kepada kementerian itu dan membina kepercayaan dengan Angkatan Tentera Malaysia.

 

Nonee Ashirin berkata hubungan tersebut turut membantu meyakinkan rakan OEM terhadap keupayaan teknikal GTA sehingga syarikat itu menjadi penyedia tunggal bagi OEM berkenaan di Malaysia.

 

“Kedudukan itu memberikan GTA asas untuk terus memperkukuh perniagaan MRO dan pada masa sama memperluaskan operasi dalam bidang baharu, termasuk gear pendaratan, roda dan brek, selain meningkatkan jumlah serta kemahiran tenaga kerja kami.

 

“Di peringkat serantau pula, GTA sudah memperoleh kedudukan sebagai pengedar di Brunei dengan tumpuan kepada Tentera Udara Diraja Brunei, yang mengendalikan enam helikopter dengan dua enjin bagi setiap helikopter.

 

“Ini bermakna terdapat 12 enjin di Brunei yang berpotensi untuk disokong GTA, memberikan syarikat peluang mengembangkan perkhidmatan MRO di luar Malaysia ketika kami mula memperluas capaian pasaran serantau,” katanya.

 

IPO Jadi Platform Perkembangan GTA

GTA dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 September 2026 dengan sasaran mengumpul RM71.75 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO).

 

IPO itu melibatkan 329 juta saham, terdiri daripada 205 juta saham biasa baharu dan 124 juta saham sedia ada pada harga terbitan 35 sen sesaham. 

 

Selepas penyenaraian, modal saham GTA akan meningkat kepada 1.29 bilion saham dengan permodalan pasaran dijangka sekitar RM451.97 juta.

 

Selain pembangunan Pusat Kecemerlangan, rancangan pertumbuhan GTA yang diumumkan sebelum ini turut merangkumi pembangunan kemudahan operasi baharu, pengembangan MRO helikopter serta peluasan keupayaan kepada gear pendaratan, roda dan brek.

 

Dengan penyenaraian itu, GTA kini mempunyai platform untuk meningkatkan keupayaan teknikal, membangunkan tenaga kerja dan memperluas rangkaian pelanggan, di samping mengukuhkan hubungan dengan OEM sedia ada serta mencari peluang kerjasama baharu.

 

Bagi GTA, tumpuan selepas penyenaraian bukan semata-mata untuk meningkatkan saiz operasi, tetapi membina kepakaran MRO yang lebih mendalam supaya syarikat mampu mengambil peranan lebih besar dalam rantaian industri aeroangkasa dan pertahanan Malaysia serta pasaran serantau.– BERNAMA
 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved