RM800 sahaja? Di mana keadilan buat anak saya

LocalFamily & Parenting
7 Sep 2026 • 3:50 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RM800 sahaja? Di mana keadilan buat anak saya

KLANG -“Di mana keadilan untuk anak saya?”

Itu luahan bapa kepada kanak-kanak lelaki autistik yang cedera dipukul menggunakan penyangkut baju di sebuah pusat asuhan selepas guru taska terbabit hanya didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Muhamad Fridaus Roslan, 42, berkata, hukuman tersebut terlalu ringan berbanding kecederaan dialami anaknya yang didakwa akibat penderaan ketika berada di pusat asuhan berkenaan.

Beliau yang juga penjawat awam di sebuah universiti awam berkata, keluarga amat kesal apabila pertuduhan hanya dikenakan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan.

“Pesalah hanya didenda RM800. Sudah tentu boleh bayar. Lagipun denda itu sama harganya dengan yuran bulanan yang saya bayar untuk anak kedua saya.

“Bagi kami, tiada keadilan untuk Fahiem apabila akta yang digunakan sangat lemah, sedangkan doktor yang merawatnya telah mengesahkan kesan kecederaan pada kedua-dua paha dan lengan adalah kesan penderaan,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, beliau berpandangan tindakan lebih tegas perlu diambil termasuk pertuduhan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman lebih berat.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Kami juga mahu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan terhadap premis pusat asuhan itu supaya tiada kanak-kanak lain mengalami nasib sama.

“Keluarga akan melantik peguam bagi menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak dan menilai semula kes ini,” katanya.

Muhamad Fridaus berkata, hukuman ringan terhadap kes seumpama itu dikhuatiri memberi gambaran seolah-olah perbuatan memukul atau mencederakan kanak-kanak boleh dipandang ringan.

“Selepas ini mungkin ada mangsa lain yang dipukul dengan alasan sama, namun didakwa di bawah akta yang sama. Di mana keadilan kalau begitu?,” soalnya.

Tambahnya, kejadian tersebut turut memberi kesan kepada keadaan emosi anaknya yang mengalami trauma.

“Sepatutnya dia tahu cara menjaga kanak-kanak autistik kerana taska itu memang untuk anak-anak autistik,” katanya.

Jelasnya, susulan kejadian itu juga menyebabkan isterinya merupakan jururawat di sebuah hospital swasta terpaksa bercuti dalam menjaga anak kedua daripada tiga beradik itu.

Dalam pada itu, Muhamad Fridaus turut mempersoalkan mengenai identiti individu yang didakwa melakukan perbuatan tersebut.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima keluarga sebelum ini, pelakunya adalah individu lain dan bukannya tertuduh.

“Kenapa boleh ‘tertukar’ ? Sebelum ini kami dimaklumkan pelakunya adalah orang lain, bukan tertuduh,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang guru taska didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak lelaki autistik, hujung bulan lalu. – KOSMO! ONLINE

The post RM800 sahaja? Di mana keadilan buat anak saya appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved