liza19/08/2026 - 12:53 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Ogos – Penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) GTA Holdings Berhad melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) pada harga 35 sen sesaham bagi mengumpul RM71.75 juta untuk mengembangkan operasi dan menampung keperluan modal kerjanya.
IPO itu membabitkan penerbitan 205 juta saham baharu serta tawaran untuk jualan 124 juta saham sedia ada yang dijangka memberikan GTA nilai pasaran sekitar RM451.97 juta selepas disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Daripada RM71.75 juta hasil penerbitan saham baharu itu, sebanyak RM25 juta atau 34.84% akan digunakan untuk membangunkan pusat operasi baharu bagi menyokong perkembangan perniagaan kumpulan.
Sebanyak RM10 juta lagi diperuntukkan bagi mengembangkan aktiviti MRO helikopter GTA di Timur Tengah manakala RM5.9 juta akan digunakan untuk memperluas perkhidmatan MRO kepada komponen seperti sistem pendaratan pesawat, roda dan brek.
Peruntukan Dana Dan Pelan Pengembangan
Baki RM24.15 juta daripada hasil IPO akan digunakan sebagai modal kerja, manakala RM6.7 juta lagi diperuntukkan bagi menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Pada masa sama, tawaran untuk jualan 124 juta saham sedia ada akan memberikan hasil sebanyak RM43.4 juta kepada pemegang saham yang menjual kepentingan mereka.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Mohammed Radzi, menjual 43 juta saham menerusi tawaran itu, menyebabkan pegangan beliau dalam kumpulan berkurangan kepada 39.57% daripada 51% sebelum IPO.
Ludev Capital pula akan menjual 61 juta saham dengan pegangan syarikat itu dijangka berkurangan kepada 19.67% selepas penyenaraian. Brands Connect dan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Syed Abdul Rahman Syed Mohamad, masing-masing menjual lima juta dan 15 juta saham.
GTA yang berpangkalan di Selangor itu menyediakan perkhidmatan MRO untuk helikopter dan enjin pesawat selain menjual peralatan penerbangan termasuk enjin baharu, modul enjin serta alat ganti.
Prestasi Kewangan Terus Berkembang
Dari segi penilaian, harga IPO 35 sen sesaham meletakkan GTA pada kira-kira 11.18 kali nisbah harga kepada pendapatan berdasarkan keuntungan sesaham sebanyak 3.13 sen bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2025 (FY2025).
Bagi FY2025, keuntungan bersih GTA meningkat kepada RM40.45 juta berbanding RM36.61 juta pada tahun sebelumnya manakala hasil meningkat kepada RM331.78 juta daripada RM236.65 juta.
Bagi tempoh dua bulan berakhir 30 April 2026 pula, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih RM12.53 juta daripada hasil sebanyak RM103.63 juta.
Permohonan IPO GTA akan ditutup pada jam 5 petang 26 Ogos 2026, dengan syarikat itu dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 September 2026.
Hong Leong Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com






