Festival Emas Malaysia sasar RM100 juta nilai transaksi dengan lebih 15,000 pengunjung

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 4:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Festival Emas Malaysia sasar RM100 juta nilai transaksi dengan lebih 15,000 pengunjung Image from: Festival Emas Malaysia sasar RM100 juta nilai transaksi dengan lebih 15,000 pengunjung liza18/08/2026 - 16:58 MGF 2026 akan menjadi penganjuran pertama festival itu pada skala besar dengan MGA menyasarkan penyertaan 70 pempamer tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai segmen rantaian industri emas dan barang kemas Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Persatuan Emas Malaysia (MGA) menyasarkan nilai transaksi sebanyak RM100 juta sepanjang penganjuran Festival Emas Malaysia (MGF) 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 18 hingga 20 September depan.

 

Presiden MGA, Datuk Seri Louis Ng berkata pihaknya optimis mampu mencapai sasara itu menerusi gabungan jualan antara perniagaan dengan perniagaan serta jualan antara perniagaan dengan pengguna sepanjang festival berkenaan berlangsung.

 

Beliau berkata urus niaga antara perniagaan dijangka menyumbang nilai yang lebih besar kerana membabitkan pembelian dalam jumlah tinggi, manakala jualan kepada pengguna pula lazimnya melibatkan pembelian barang kemas secara individu.

 

Festival Emas Berskala Besar

Ng berkata MGF 2026 akan menjadi penganjuran pertama festival itu pada skala besar dengan MGA menyasarkan penyertaan 70 pempamer tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai segmen rantaian industri emas dan barang kemas.

 

Katanya, setakat ini kira-kira 45 pempamer sudah mendaftar, manakala jumlah pengunjung pula dijangka antara 10,000 hingga 15,000 orang dari dalam dan luar negara.

 

Menurutnya, festival berkenaan berkembang daripada inisiatif yang diperkenalkan MGA sejak enam tahun lalu menerusi Hari Kebudayaan Emas Malaysia 916 yang disambut setiap 16 September bagi mengiktiraf budaya emas negara.

 

Perkukuh Industri Emas Tempatan

Beliau berkata Hari Kebudayaan Emas Malaysia 916 turut bertujuan mempromosikan barang kemas buatan tempatan serta meningkatkan penghargaan terhadap kemahiran pertukangan emas Malaysia.

 

"Festival ini bukan sekadar pameran, malah kami berusaha menggalakkan rakyat Malaysia menyokong emas tempatan dan pada masa sama mengajak dunia mengenali apa yang ditawarkan Malaysia," katanya pada sidang media MGF 2026 dan pelancaran rasmi festival itu hari ini.

 

Ng berkata MGA mahu menjadikan MGF sebagai acara tahunan emas dan barang kemas bertaraf utama di Asia Tenggara, selain meletakkan Malaysia sebagai hab strategik perdagangan emas dan industri barang kemas di rantau ini.

 

t

 

Permintaan Barang Kemas Mula Pulih

Dalam perkembangan industri, Ng berkata permintaan terhadap barang kemas mula menunjukkan pemulihan selepas harga emas susut daripada paras tertinggi yang dicatatkan sebelum ini.

 

Katanya, perkembangan itu turut dapat dilihat dalam pasaran domestik apabila permintaan dan jualan barang kemas mula meningkat sejak tiga hingga empat bulan lalu.

 

"Bagi tempoh tiga hingga empat bulan kebelakangan ini, kami melihat permintaan dan jualan barang kemas mula meningkat, termasuk dalam pasaran tempatan," katanya.

 

Piawaian Baharu Industri Emas

Sementara itu, MGA kini berada pada peringkat akhir pembangunan Piawaian Emas Malaysia yang akan menjadi inisiatif pertama di bawah Prinsip Industri Emas Malaysia.

 

Piawaian itu dijangka dilancarkan sempena MGF 2026 pada September sebagai usaha mewujudkan panduan dan piawaian yang lebih tersusun untuk industri emas negara.

 

Ng berkata Prinsip Industri Emas Malaysia merangkumi lapan kod yang meliputi pelbagai segmen industri emas termasuk penapisan, pembuatan, perdagangan dan Ar-Rahnu, namun tidak merangkumi sektor perlombongan emas.

 

Daripada lapan kod berkenaan, tujuh sudah disiapkan, manakala kod kelapan berkaitan aspek syariah masih memerlukan lebih banyak masa untuk dimuktamadkan kerana ia merupakan elemen baharu dalam industri emas global.

 

Beliau berkata pembangunan piawaian dan prinsip berkenaan penting bagi memperkukuh ekosistem industri emas Malaysia, selaras dengan hasrat MGA untuk meningkatkan kedudukan negara sebagai pusat perdagangan emas dan industri barang kemas utama di Asia Tenggara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved