Rhone Ma catat hasil RM56.39 juta pada 2QFY26 disokong segmen kesihatan haiwan

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 5:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rhone Ma catat hasil RM56.39 juta pada 2QFY26 disokong segmen kesihatan haiwan Image from: Rhone Ma catat hasil RM56.39 juta pada 2QFY26 disokong segmen kesihatan haiwan liza17/08/2026 - 17:41 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Rhone Ma Holdings Berhad mencatat hasil RM56.39 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY26) iaitu peningkatan 5.27% berbanding RM53.57 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026.

 

Berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, hasil kumpulan itu turut meningkat 2.57% daripada RM54.98 juta, didorong terutamanya oleh pertumbuhan segmen Produk dan Peralatan Kesihatan Haiwan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata segmen Produk dan Peralatan Kesihatan Haiwan menyumbang RM48.34 juta kepada hasil 2QFY26, meningkat RM2.41 juta atau 5.25% berbanding RM45.93 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku berkenaan pula kekal stabil pada RM5.13 juta berbanding RM5.15 juta dalam tempoh sama sebelumnya.

 

“Bagaimanapun, PBT itu meningkat 10.78% berbanding RM4.63 juta yang dicatatkan pada 1QFY2026, menunjukkan peningkatan prestasi keuntungan secara suku ke suku,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Keuntungan selepas cukai (PAT) pula meningkat kepada RM3.57 juta daripada RM3.52 juta dalam 2QFY25 dengan pertumbuhan 1.36%. Berbanding suku pertama tahun kewangan 2026, PAT meningkat lebih ketara sebanyak 18.75% daripada RM3 juta.

 

Hasil enam bulan meningkat 4.96%

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY26), hasil Rhone Ma meningkat RM5.19 juta atau 4.96% kepada RM109.97 juta berbanding RM104.77 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

PBT bagi tempoh tersebut turut meningkat 2.85% kepada RM9.76 juta daripada RM9.49 juta pada 1HFY25.

 

Bagaimanapun, PAT kumpulan berjumlah RM6.57 juta, sedikit lebih rendah berbanding RM6.62 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya, mencerminkan permintaan teras yang kekal stabil dalam operasi kesihatan haiwan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, usaha sama kumpulan, Jemaluang Dairy Valley, mencatat pengurangan kerugian yang ketara kepada RM180,000 pada 2Q FY26 berbanding RM1.25 juta pada 1Q FY26.

 

Pengurangan kerugian itu turut menyokong peningkatan sederhana dalam PBT terkumpul kumpulan bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026.

 

Fokus perluas pasaran dan kapasiti pengeluaran

Pengarah Urusan Kumpulan Rhone Ma Holdings Berhad, Dr Lim Ban Keong berkata, prestasi suku kedua mencerminkan daya tahan operasi utama kumpulan serta permintaan yang stabil terhadap penyelesaian veterinar khusus di rantau ini.

 

Menurut beliau, Rhone Ma memberi tumpuan untuk meningkatkan bahagian pasaran dalam segmen ternakan serta segmen haiwan kesayangan yang semakin berkembang menerusi pelancaran produk baharu dan peluasan pengedaran produk jenama sendiri di dalam dan luar negara.

 

“Bagi menyokong pertumbuhan ini, kami akan memberi tumpuan kepada peningkatan penggunaan kapasiti kilang pembuatan yang mematuhi piawaian GMP, di samping terus memperkukuh keupayaan pengeluaran,” katanya dalam kenyataan.

 

Pada masa sama, penglibatan berterusan dalam projek Jemaluang Dairy Valley mengukuhkan usaha kumpulan untuk berkembang sebagai penyedia penyelesaian menyeluruh dalam ekosistem tenusu.

 

Rhone Ma berkata, kedudukan kewangan yang kukuh serta keupayaan teknikal teras meletakkan kumpulan pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang baharu, di samping menjana nilai mampan dalam sektor kesihatan haiwan dan ramuan makanan di rantau ini.

 

Rhone Ma melalui anak syarikatnya menyediakan perkhidmatan kesihatan haiwan secara menyeluruh merangkumi khidmat nasihat veterinar, analisis makmal diagnostik, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pembuatan dan pengedaran produk kesihatan haiwan.

 

Kumpulan itu turut mempunyai kilang yang mematuhi piawaian GMP di Petaling Jaya, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan, selain mengedarkan lebih 300 produk kesihatan haiwan termasuk vaksin, produk farmaseutikal dan bahan tambahan makanan serta lebih 30 jenis produk ramuan makanan kepada pelanggan di Malaysia.

 

Selain pasaran Malaysia, Rhone Ma turut mempunyai kehadiran di Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, India, Taiwan, Pakistan dan Myanmar. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved