GTA VI Versi Fizikal Akan Dijual Pada Hari Pelancaran Kelak

EntertainmentGaming
4 Feb 2026 • 1:54 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Berita baik bagi peminat dan pengumpul permainan video versi fizikal kerana Take-Two Interactive mengesahkan Grand Theft Auto VI versi cakera fizikal akan dijual pada hari ia dilancarkan kelak. Pengumuman dilakukan selepas muncul ura-ura versi digital sahaja akan dijual pada hari pelancaran bagi mengelakkan permainan diakses awal sehingga plot jalan cerita dibocorkan ke arena web.

image is not available

Walaupun ia sekadar ura-ura pada waktu tersebut, ia menerima reaksi negatif daripada peminta kerana membeli permainan kegemaran tepat pada tengah malam ialah tradisi hari pelancaran siri GTA sejak sekian lama. Penantian lebih 12 tahun untuk permainan baharu siri ini akan akhirnya tamat 19 November kelak selepas beberapa kali ditangguh kerana Rockstar Games memerlukan lebih banyak masa.

Insiden Rockstar Digodam, kebakaran di studio dan pekerja diberhentikan kerana didakwa menyertai kesatuan adalah antara drama yang menjadi bayang hitam permainan yang amat dinantikan. Walaupun sudah berusia lebih 12 tahun, GTA V sudah terjual lebih 225 juta unik dengan ia merentasi tiga generasi konsol serta menjana pendapatan lebih $10 bilion.