
Cermin mata pintar paling premium di pasaran sekarang ialah keluaran EssilorLuxottica dan Meta. Mereka mendominasi pasaran menerusi siri cermin mata pintar Ray-Ban dan Oakley. Selepas ini persaingan akan menjadi lebih sengit selepas CEO Gucci, Luca de Meo mengesahkan mereka akan memasuki pasaran yang sama bermula 2027 dengan kerjasama Google.
Cermin mata pintar pertama Gucci sudah hampir pasti akan menggunakan sistem operasi Android XR yang diperlihatkan di Google I/O tahun lalu. Ia boleh beroperasi dengan skrin terbina atau hanya dengan kawalan suara seperti cerin mata Ray-Ban sekarang. Walaupun sistem operasi dilancarkan tahun lalu, Google masih berahsia bila cermin mata Android XR akan dipasarkan.

Besar kemungkinan ia di acara Google I/O dengan beberapa pengeluar lain seperti Samsung dan Nothing menggunakan acara sama melancarkan produk mereka. Google sendiri melakukan pelaburan dalam syarikat cermin mata Warby Parker sebagai persediaan sebelum melancarkan cermin mata pintar mereka.
Walaupun ia produk yang amat berguna, kini muncul kerisauan cermin mata pintar yang dilengkapi kamera akan melibatkan isu privasi. Rakaman boleh dilakukan tanpa disedari atau kebenaran tuan punya badan.
Beberapa institusi pengajian, ia diharamkan ketika musim peperiksaan kerana boleh digunakan untuk menipu. Di China pula perkhidmatan menyewa cermin mata pintar ditawarkan untuk mengelat dalam peperiksaan Bahasa Inggeris dan matematik.



