Dalam pasaran peranti pintar kelas pertengahan, nama Realme agak terkenal lebih lebih lagi siri nombor mereka kerana saya sendiri pernah menggunakan Realme 5 Pro sebagai peranti harian. Kali ini, mereka datang dengan Realme 16 Pro+ namun ada beberapa perkara yang agak pelik yang Realme berikan pada peranti ini. Untuk ketahui lebih lanjut, teruskan baca artikel ulasan ini.

| Realme 16 Pro+ 5G | |
|---|---|
| Skrin | 6.8-inci, 1280 x 2800 piksel AMOLED, 144Hz, 6500 nits (peak) 19.5:9 ratio (~453 ppi) Corning Gorilla Glass 7i |
| Pemproses | Snapdragon 7 Gen 4 (4nm) |
| Cip | 1 x 2.8 GHz Cortex-720 4 x 2.4 GHz Cortex-720 3 x 1.8 GHz Cortex-520) |
| Cip Grafik | Adreno 722 |
| RAM | 12GB RAM |
| Muatan Dalaman | 512GB (tiada mikroSD) |
| Kamera Utama | 200 MP, f/1.8 (lebar), PDAF, OIS 50 MP, f/2.0 (ultra-lebar) 4K@30/60FPS |
| Kamera Depan | 50 MP, f/2.4 (lebar), 4K@30/60fps 1080p@30/60fps |
| Bateri | Si/C Li-Ion 7000 mAh 80W berwayar |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
| NFC | Ya |
| Infra Merah | Ya |
| Kalis Air | IP68/69K |
| Sistem Imbasan | Imbasan cap jari Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM 2299 (12/512GB) |
Rekaan
Realme 16 Pro+ kali ini membawa rekaan yang agak berbeza dengan model sebelum ini terutama untuk warna unit yang kami terima ini iaitu Master Gold. Panel belakang ini menggunakan kemasan kulit seperti kain yang kesat dan memberikan genggaman yang baik ketika memegang peranti, ini juga dibantu dengan reka bentuk melengkung pada peranti ini. Namun saya perasan yang panel belakang ini mudah memerangkap habuk dan juga kotoran jadi agak renyah untuk membersihkannya selalu.

Satu lagi saya kurang gemar adalah kedudukan tulisan Realme di belakang ini, ia seperti meletakkan sahaja nama jenama disitu secara rawak. Ini juga mengingatkan saya pada Realme X2 Pro dahulu dengan sebab yang sama. Pada bahagian modul kamera, ia menggunakan bahan jenis aluminium yang berkilat. Bahagian sisi juga menggunakan bingkai aluminium yang berkilat justeru mudah memerangkap kesan cap jari dan kotoran.

Walaupun Realme 16 Pro+ ini dilengkapi dengan bateri 7000mAH, saya tidak terasa langsung yang peranti ini berat. Tahap kenipisan ini juga agak mengagumkan iaitu setebal 0.85 cm sahaja. Jadi menggunakan peranti ini seharian terasa sangat premium lagi-lagi dengan rekaan baharu yang dibawa. Dari luar juga peranti ini tidak nampak seperti peranti kelas pertengahan.

Susun atur butang yang ada ini juga masih lagi kelihatan normal seperti peranti-peranti yang lain. Bahagian bawah menempatkan mikrofon, port pengecasan USB-C, pembesar suara dan slot untuk kad sim yang boleh memuatkan dua sim serentak. Di bahagian atas, terdapat pembesar suara yang kedua, sensor inframerah dan juga mikrofon kedua
Skrin
Untuk skrin pada Realme 16 Pro+ ini, tiada apa-apa benda buruk yang saya boleh ketengahkan. Ia menggunakan panel AMOLED bersaiz 6.8” dengan resolusi FHD+, tahap kecerahan pula boleh sampai 6500nits yang agak impresif dan ditambah pula dengan kadar segar semula 144Hz. Untuk anda yang penggemar kandungan HDR, peranti ini juga menyokong HDR10+.

Dari segi spesifikasi skrin memang Realme 16 Pro+ ini tidak mengecewakan cumanya ada satu perkara sahaja yang perlu anda ambil tahu adalah skrin yang diberikan ini adalah sejenis melengkung. Ini bergantung kepada minat anda kepada skrin jenis rata atau melengkung tapi bagi saya sendiri saya lebih minat dengan skrin yang rata.

Kualiti skrin memang saya boleh berikan pujian dari ketepatan warna, tahap kecerahan dan sebagainya. Skrin yang dibekalkan ini boleh memberikan tahap kepuasan maksima untuk anda menonton sebarang filem, drama atau kandungan di media sosial sekali pun.
Perisian – Realme UI 7
Realme 16 Pro+ ini menjalankan Realme UI 7 berdasarkan Android 16. Perisian ini adalah sama seperti yang ada pada peranti OPPO dan juga OnePlus. Dari segi estetik dan rekaan, Realme UI ini agak menarik terutamanya rekaan ikon dan pelbagai pemperibadian yang boleh dibuat melalui Flux Themes mengikut citarasa pengguna. Untuk melakukan navigasi dalam Realme UI ini juga agak mudah jika anda tidak pernah menggunakannya.


Realme UI ini juga dimuatkan dengan beberapa ciri AI yang tersedia untuk pengguna namun yang paling menarik minat saya adalah AI Gaming Coach dimana AI akan berikan anda ramalan permainan itu sama ada anda menang atau kalah dan juga ia akan berikan beberapa tips ketika dalam permainan. Namun, AI Gaming Coach ini hanya tersedia untuk permainan seperti Mobile Legends Bang Bang dan juga PUBG Mobile sahaja.

Seperti kebiasaan peranti-peranti dari China yang lain, Realme UI ini juga tidak lari dengan aplikasi gendut yang tersedia tapi ia tidaklah sebanyak seperti dahulu. Iklan juga masih ada dalam Realme UI ini tapi tidak semeriah seperti dahulu dan anda boleh tutup terus sahaja melalui Setting. Akhir sekali, Realme UI ini juga mendapat sokongan kemas kini Android 3 tahun dan tampalan sekuriti selama 4 tahun yang sekadar mencukupi untuk peranti kelas pertengahan.
Prestasi
Realme 16 Pro+ ini dilengkapi dengan cip Snapdragon 7 Gen 4, ya betul cip yang sama digunakan pada Realme 15 Pro beberapa bulan yang lalu. Cip ini digabungkan dengan penggunaan memori 12GB LRDDR5X dengan storan jenis UFS 3.1. Prestasinya tidaklah terlalu hebat dan juga tidaklah terlalu buruk. Anda boleh menilai sendiri melalui skor ujian penanda aras di bawah.
Berikut ialah perbandingan kemampuan Realme 16 Pro+ berbanding beberapa lagi peranti dalam lingkungan harga yang sama.
- Nothing Phone (4a) Pro – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
- Poco X8 Pro – Dimensity 8500 Ultra (4 nm)
- Vivo V70 – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
- Oppo Reno15 – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
- Oppo Reno14 Pro – Dimensity 8450 (4 nm)
- Honor 400 Pro – Snapdragon 8 Gen 3 (4 nm)
- Google Pixel 10 Pro XL – Tensor G5 (3 nm)
- Poco X7 Pro – Dimensity 8400 Ultra (4 nm)
AnTuTu 3D
| Peranti | Skor |
| Realme 16 Pro+ | 1,424,007 |
| Nothing Phone 4(a) Pro | 1,408,711 |
| Poco X8 Pro | 2,086,502 |
| Vivo V70 | 1,464,284 |
| Oppo Reno15 | 1,412,018 |
| Oppo Reno14 Pro | 1,437,541 |
| Honor 400 Pro | 1,861,573 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 1,214,735 |

Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Realme 16 Pro+ | 1337 | 4132 |
| Nothing Phone 4(a) Pro | 1282 | 3907 |
| Poco X8 Pro | 1721 | 6340 |
| Vivo V70 | 1361 | 4181 |
| Oppo Reno15 | 1280 | 3857 |
| Oppo Reno14 Pro | 1615 | 6174 |
| Honor 400 Pro | 1224 | 6083 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2303 | 6134 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Realme 16 Pro+ | 2108 |
| Nothing Phone 4(a) Pro | 1993 |
| Poco X8 Pro | 4120 |
| Vivo X70 | 2093 |
| Oppo Reno15 | 2082 |
| Oppo Reno14 Pro | 3780 |
| Honor 400 Pro | 4467 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2567 |

Kalau anda belasah peranti ini dengan bermain game seperti MLBB pada tetapan ultra ia agak cepat memanas tapi ia tidaklah mengganggu sesi permainan anda. Perkara yang sama dengan PUBG Mobile dengan sesi permainan yang agak lama. Jika penggunaan biasa dalam kehidupan seharian ia masih dapat beri pengalaman yang sangat baik dimana ia terasa sangat lancar dan pantas.

Dalam pasaran yang penuh dengan peranti kelas pertengahan dengan cip yang lebih berkuasa, saya rasa Realme 16 Pro+ ini sedikit tenggelam berbanding pesaing. Namun, penggunaan semula cip yang lama ini bukanlah suatu perkara yang baru dan buruk, jika anda tidak mengejar prestasi cip ini sudah mencukupi.
Kamera
Mungkin di bahagian kamera Realme 16 Pro+ ini lebih menyinar kerana ia dilengkapi dengan lensa utama 200MP dengan sensor Samsung HP5, lensa telefoto 50MP dengan zum optikal 3.5x dan akhir sekali lensa ultra lebar 8MP dengan keluasan 115 darjah sebagai pelengkap. Untuk kamera swafoto pula dilengkapi dengan lensa 50MP.

Lensa utama dapat menghasilkan gambar yang sangat baik, kawalan warna mengikut profil warna yang tersedia iaitu vibrant atau natural. Pilihan profil warna vibrant agak meningkatkan lagi kepekatan warna dan pilihan natural akan seimbang warna mengikut dunia sebenar. Ketajaman juga agak baik dan anda boleh zum sehingga 2x tanpa hilang butiran. Untuk dapatkan lebihkan lagi ketajaman dalam gambar anda boleh menggunakan mod 200MP yang tersedia.




Lensa telefoto juga boleh dikatakan agak baik dalam keadaan cahaya yang mencukupi namun jika dibandingkan dengan peranti dalam kelasnya. Namun lensa ini adalah lensa telefoto biasa sahaja bukanlah jenis periskop. Perubahan warna antara lensa juga minimal namun pada waktu malam ada sedikit kesan oversharpen untuk menambah ketajaman dalam gambar.




Satu perkara yang saya kurang gemar adalah lensa ultralebar pada Realme 16 Pro+ ini menggunakan nilai MP yang agak ketinggalan iaitu 8MP. Mereka sudah berikan sepenuhnya tenaga pada lensa utama dan telefoto namun seakan melupakan lensa ultra lebar. Hasil gambarnya seperti yang boleh dijangka kurang tajam apabila dilihat dengan lebih teliti. Lensa ini saya boleh katakan sebagai pelengkap sahaja untuk mencukupkan korum tiga kamera.


Audio
Satu bahagian yang saya rasakan Realme 16 Pro+ ini sangat lemah adalah pembesar suaranya. Walaupun menggunakan konfigurasi stereo, bunyi yang terhasil dari pembesar suara ini kurang mengasyikkan terutamanya apabila mendengar lagu. Bunyinya, seakan anda meletakkan satu pembesar suara dalam sebuah terowong. Semasa menonton kandungan di Youtube, saya tidak terasa sangat masalah ini.
Bateri
Realme 16 Pro+ dimuatkan dengan kapasiti bateri sebesar 7000mAH dengan bantuan teknologi Silicon Carbon dan inilah juga sebab peranti ini masih kelihatan nipis dengan kapasiti yang besar. Dari segi ketahanan bateri, seperti yang boleh dijangka ia mampu bertahan seharian sekitar 9 jam tanpa masalah dengan penggunaan kamera dan juga bermain permua sedikit.

Untuk mengecas semula peranti ini, Realme sudah bekalkan pengecas SUPERVOOC 80W di dalam kotak. Pengecasan penuh mengambil masa sekitar 50 minit apabila dicas dari 20%. Ia bukanlah yang terpantas namun apabila diambil kira kapasiti baterinya yang besar ini kelajuan itu sudah cukup bagus.

Perbandingan
| Realme 16 Pro+ | Nothing Phone (4a) Pro | Poco X8 Pro |
| 6.8″ AMOLED, 144Hz HDR10+, 6500 nit | 6.83″ AMOLED, 144Hz HDR10+, 5000 nit | 6.59″ OLED, 120Hz Dolby Vision, 3500 nit |
| Snapdragon 7 Gen 4 (4nm) 1 x 2.8 GHz Cortex-720 4 x 2.4 GHz Cortex-720 3 x 1.8 GHz Cortex-520) | Snapdragon 7 Gen 4 (4nm) 1 x 2.8 GHz Cortex-720 4 x 2.4 GHz Cortex-720 3 x 1.8 GHz Cortex-520) | Dimensity 8500 Ultra (4nm) 1x Cortex-A725 3.4 GHz 3xCortex-A725 3.2 GHz 4xCortex-A725 2.2 GHz |
| Adreno 722 | Adreno 722 | Mali-G720 MC8 |
| 12 GB LPDDR5X | 8/12 GB LPDDR5X | 12 GB LPDDR5X |
| 512 GB UFS 3.1 | 128/256 GB UFS 3.1 | 512 GB UFS 4.1 |
| 200MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Lebar) 50MP f/2.8, OIS (Telefoto 3.5X) | 50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Lebar) 50MP f/2.9, OIS (Telefoto 3.5X) | 50MP f/1.5, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Lebar) |
| 50MP f/2.4 | 32MP f/2.2 | 20MP f/2.2 |
| IP69K | IP65 | IP68 / IP69K |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 7000 mAh Berwayar 80W | 5080 mAh Berwayar 50W Berbalik 7.5W | 6500 mAh Berwayar 100W |
| RM 2,399 (12/512GB) | RM 2,299 (12/256GB) | RM 1,499 (8/256GB) RM 1,699 (8/512GB) RM 1,899 (12/512GB) |
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima:
- 1 x Realme 16 Pro+
- 1 x Kabel USB-A ke USB-C
- 1 x Pengecas USB-A 80W SUPERVOOC
- 1 x Kerangka
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pencungkil SIM.
Kesimpulan
Realme 16 Pro+ ini membawa beberapa gabungan yang baik untuk sebuah peranti kelas pertengahan sebagai contoh rekaan dengan bahan binaan seakan peranti mercu, kualiti skrin yang baik, ketahanan bateri yang menakjubkan dan kualiti kamera yang baik dalam kelasnya. Reka bentuk yang melengkung ini mungkin tidak mengikut citarasa dan trend peranti waktu kini jadi lebih baik anda rasa sendiri dahulu di kedai berdekatan jika ia menepati citarasa anda. Selain itu, ini bukanlah peranti untuk anda yang mengejar kelajuan dan prestasi yang tinggi, ianya lebih kepada penggunaan yang seimbang dan sederhana.

Pro
- Rekaan Panel Belakang Baru.
- Kualiti Skrin Yang Baik.
- Realme UI 7 Mesra Pengguna.
- Prestasi Bateri Yang Menakjubkan.
- Kualiti Kamera Utama Dan Telefoto Yang Baik.
- Rekaan Melengkung Premium.
Kontra
- Pembesar suara kurang memuaskan.
- Terdapat gambar terlalu diproses.
- Cip sama seperti tahun lalu.
- Lensa Ultralebar 8MP Yang Agak Ketinggalan.


