Semalam Meta melancarkan dua cermin mata pintar baharu mereka untuk kanta preskripsi dengan kerjasama Ray-Ban. Bagi mereka yang kurang meminati estetik rekaan Ray-Ban Meta, pagi ini muncul laporan daripada Mark Gurman di Bloomberg mengatakan Nothing kini sedang membangunkan cermin mata pintar mereka yang pertama.

Cermin mata pintar ini akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan ia turut dilengkapi kamera, mikrofon dan speaker terbina. Pemprosesan AI akan dilakukan di awanan menerusi tambatan kepada telefon pintar. Pembangunan masih sedang dilakukan dan Nothing dipercayai hanya akan melancarkan cermin mata pintar ini pada H1 2027.
Kemasukan Nothing dalam arena cermin mata pintar pastinya menarik kerana rekaan produk mereka yang unik serta inovatif. Majoritinya nampak lebih futuristik dengan elemen lutsinar dan sistem lampu yang tiada pada produk syarikat lain.
Tahun ini dijangka akan menjadi tahun cermin mata pintar dengan Google, Samsung dan Apple diramalkan melancarkan produk mereka dalam masa beberapa bulan sahaja lagi.

