Gudang jadi makmal proses dadah, polis rampas bahan kimia

9 Mar 2026 • 3:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hussein menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas. Foto ROSLI TALIB.

KUALA LUMPUR - Polis membongkar sebuah makmal haram memproses dadah selepas menyerbu sebuah gudang di kawasan Taman Perindustrian Subang, Subang Jaya, Selangor pada 2 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Subang Jaya hasil maklumat risikan serta aduan awam.

"Pemeriksaan di gudang tersebut menemukan pelbagai bahan kimia serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

Hussein berkata, pihaknya merampas 214 tong mengandungi cecair disyaki bahan kimia, tiga tong mengandungi serbuk disyaki bahan kimia, serta lima botol berisi serbuk disyaki bahan kimia.

“Turut dirampas serbuk disyaki bahan kimia seberat 0.94 kilogram, selain lima unit mesin dan tiga balang kaca yang dipercayai digunakan dalam proses penghasilan dadah,” katanya.

Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Oktober 2024.

“Sindiket ini juga dikesan menggunakan identiti palsu bagi menyewa gudang tersebut dengan kadar sewaan RM6,500 sebulan,” ujarnya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah menjadikan gudang di kawasan perindustrian sebagai makmal haram memproses dadah sebelum bahan terlarang itu diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.