KUALA LUMPUR – Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan lori bagi membawa bekalan bunga ganja dari utara Semenanjung ke selatan terbongkar apabila tiga lelaki diberkas di Taman Sri Rampai di sini pada 5 Mac lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menahan tiga lelaki berusia 27 hingga 38 tahun dan merampas bunga ganja yang dianggarkan bernilai RM10.2 juta.
"Serbuan dijalankan terhadap sebuah lori yang berada di hadapan sebuah rumah teres. Pemeriksaan menemui 10 kotak yang mengandungi dadah disyaki jenis bunga ganja seberat 124.7 kilogram.
“Siasatan awal mendapati suspek pertama berperanan sebagai koordinator sindiket manakala dua lagi bertindak sebagai ‘runner’ yang menguruskan penghantaran dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
Hussein berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak Oktober tahun lalu dan menggunakan lori sebagai medium pengangkutan.
"Kita turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dianggarkan bernilai RM85,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya.
Beliau berkata, dadah itu disyaki untuk diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang dan rampasan tersebut dipercayai mampu digunakan oleh kira-kira 249,000 penagih.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah.
"Semakan rekod lampau mendapati suspek kedua mempunyai satu rekod kesalahan berkaitan dadah manakala suspek ketiga pula mempunyai tiga rekod kes jenayah.
"Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari bermula 5 Mac hingga 11 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

