Sewa rumah teres jadi markas sorok dadah

9 Mar 2026 • 3:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara Dadah yang dirampas. Foto ROSLI TALIB
image is not available
Hussein menunjukkan individu yang dikesan bagi membantu siasatan. Foto ROSLI TALIB
image is not available
Antara dadah yang dirampas. -Foto ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket menyewa lori bagi mengangkut bekalan dadah dari utara Semenanjung sebelum menyimpannya di dua rumah teres terbongkar susulan dua lelaki diberkas dalam Op Chrysogaster, pada 2 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia antara 38 dan 44 tahun serta merampas dadah bernilai RM170 juta.

"Serbuan pertama dijalankan di sebuah rumah teres di Taman Gembira di sini, ketika kedua-dua suspek sedang melakukan kerja pemunggahan beberapa guni putih dari dalam rumah ke sebuah lori jenis Mitsubishi berwarna putih," katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini pada Isnin.

**media[3457744]**

Hussein berkata, hasil pemeriksaan di dalam lori dan rumah tersebut membawa kepada penemuan 128 guni putih yang mengandungi 3,205 bungkusan dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 3,320.69 kilogram.

"Kita turut merampas empat paket plastik lutsinar mengandungi pil ekstasi seberat kira-kira 1.4 kilogram,” katanya.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, pihak polis kemudian melakukan pemeriksaan di sebuah lagi rumah teres di kawasan Taman Overseas Union Garden, Jalan Klang Lama.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kedua membawa kepada penemuan tiga guni putih dan sebuah beg berwarna kuning yang mengandungi 79 bungkusan disyaki methamphetamine dengan berat keseluruhan 81.4 kilogram,” katanya.

Hussein berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah jenis methamphetamine dalam operasi berkenaan adalah sebanyak 3,284 bungkusan dengan berat keseluruhan 3,402.18 kilogram.

"Siasatan mendapati suspek pertama berperanan sebagai 'transpoter' manakala suspek kedua merupakan ahli sindiket yang dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu," katanya.

**media[3457745]**

Beliau berkata, modus operandi sindiket ini adalah dengan menyewa lori bagi membawa bekalan dadah dari utara Semenanjung ke sekitar Lembah Klang sebelum disimpan di rumah yang disewa.

"Dadah itu dipercayai diseludup dari 'golden triangle', sebelum dipasarkan di dalam negara serta luar negara," katanya.

Tambah beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo.

“Semakan lanjut juga mendapati suspek kedua mempunyai 14 rekod kesalahan lampau yang melibatkan 12 kes dadah dan dua kes jenayah," katanya.

Menurutnya, rampasan dadah ini dipercayai mampu menjejaskan kira-kira 17 juta penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran.

"Kedua-dua suspek kini direman selama 14 hari bermula 3 Mac hingga 16 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.