Gummy eyeball 'perangkap maut' anak-kanak

LocalHealth & Fitness
21 Feb 2025 • 3:05 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Gummy eyeball berbentuk bulat, besar dan jika tidak dikunyah sempurna, ia boleh tersangkut di saluran pernafasan.

Gula-gula gummy eyeball memang menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Reka bentuknya yang menyerupai mata manusia dengan warna dan corak menarik telah menjadikan gula-gula itu unik berbanding makanan lain.

Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, gummy eyeball boleh menjadi 'perangkap maut' yang membunuh kanak-kanak.

Ia kerana, gula-gula kenyal itu mampu menjadi penyendal saluran pernafasan kanak-kanak yang sempurna.

Kenyataan PHM itu dibuat susulan kematian murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, yang meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam tadi akibat tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.

Dalam posting sama, PHM turut mengulas lanjut ciri-ciri gula-gula kenyal itu merbahaya dan tidak sepatutnya dijual dalam pasaran.

"Tekstur licin dan kenyalnya dengan mudah tergelincir terus ke dalam tekak sebelum sempat dikunyah.

"Bentuk bulat dan besar menyebabkan jika tidak dikunyah sempurna, ia boleh tersangkut di saluran pernafasan.

"Sukar dikeluarkan jika tersedak, sangat berbeza dengan makanan keras yang boleh dihentak keluar, gula-gula ini melekit dan boleh menyumbat saluran udara sepenuhnya," ujarnya.

Kongsi mereka lagi, gummy eyeball berisiko lebih tinggi kepada kanak-kanak kecil yang belum pandai mengunyah dengan betul selain lebih mudah panik jika tercekik.

"Dalam konteks ini, kanak-kanak bukan tahu gula-gula kenyal berkenaan bahaya atau tidak.

"Mereka hanya tahu, makanan ini manis dan seronok dimakan," maklum PHM.