Guna pejabat sebagai asrama pekerja tanpa kelulusan, majikan boleh dikenakan tindakan - JTKSM

20 Nov 2026 • 3:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Guna pejabat sebagai asrama pekerja tanpa kelulusan, majikan boleh dikenakan tindakan - JTKSM
Bangunan yang dijadikan penginapan pekerja perlu mematuhi semua perundangan berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT). - Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Majikan yang menjadikan unit pejabat sebagai asrama pekerja warga asing tanpa kelulusan berdepan tindakan undang-undang termasuk denda maksimum RM50,000 jika didapati melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam kenyataan memaklumkan, keadaan ruang yang sesak, ketiadaan kemudahan asas yang kondusif serta penggunaan kemudahan sanitasi awam bertentangan dengan prinsip kebajikan pekerja dan ketenteraman komuniti setempat.

"Setiap majikan yang menggajikan pekerja asing wajib mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah Tenaga Kerja sebelum menempatkan pekerja di mana-mana premis.

"Kegagalan mematuhi Seksyen 24D Akta 446 merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 jika disabitkan kesalahan," katanya.

Menurut JTKSM, selain itu, bangunan yang dijadikan penginapan pekerja perlu mematuhi semua perundangan berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk mendapatkan kelulusan penukaran syarat kegunaan bangunan daripada kategori komersial atau pejabat kepada kediaman.

"Premis berkenaan juga perlu disahkan selamat dan sesuai untuk didiami serta memenuhi piawaian keselamatan kebakaran.

"Kegagalan mematuhi ketetapan di bawah Seksyen 24H(2) Akta 446 turut boleh dikenakan denda sehingga RM50,000," katanya.

JTKSM memandang serius susulan aduan awam berhubung penyalahgunaan sebuah unit pejabat di tingkat 14 bangunan komersial di Pandan Indah, Ampang, Selangor yang dipercayai dijadikan tempat tinggal kira-kira 10 pekerja warga asing.

Pekerja terbabit dipercayai bekerja mengikut syif dan menggunakan tandas awam bangunan berkenaan untuk membersihkan diri serta membasuh pakaian.

Dalam pada itu, JTKSM menjelaskan, majikan diwajibkan menyediakan kemudahan asas mengikut spesifikasi ditetapkan termasuk katil bujang atau bertingkat, tilam dengan ketebalan sekurang-kurangnya empat inci, bantal, selimut dan almari berkunci bagi setiap pekerja.

"Keluasan ruang tidur dormitori juga perlu sekurang-kurangnya tiga meter persegi bagi setiap individu selain dilengkapi bekalan air dan elektrik yang teratur.

"Majikan turut bertanggungjawab memastikan premis penginapan diselenggara dengan baik, mematuhi piawaian keselamatan kebakaran dan pendawaian elektrik yang diluluskan serta melaksanakan langkah pencegahan penyakit berjangkit," katanya.

Sehubungan itu, JTKSM akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap majikan dan pemilik premis yang disyaki melanggar peruntukan Akta 446.

"Tindakan tegas termasuk pendakwaan atau pengkompaunan kesalahan mengikut peraturan berkuat kuasa akan diambil tanpa sebarang kompromi," katanya.

JTKSM turut mengingatkan semua majikan supaya tidak menggunakan premis komersial, pejabat atau mana-mana lokasi yang tidak mendapat kelulusan sebagai penginapan pekerja.

"Orang awam dan pekerja yang mempunyai maklumat berkaitan ketidakpatuhan atau salah laku penginapan pekerja boleh menyalurkan aduan menerusi aplikasi eAduan, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Pejabat Tenaga Kerja berhampiran," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melakukan tinjauan berhubung dakwaan ruang pejabat di sebuah bangunan di Pandan Indah di sini dipercayai disalahgunakan apabila dijadikan asrama pekerja warga asing, malah kemudahan tandas awam turut digunakan untuk aktiviti mandi dan membasuh pakaian.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved