Guna peruntukan tingkat tahap keselamatan di sekolah

LocalPolitics
19 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Guna peruntukan tingkat tahap keselamatan di sekolah

ADALAH penting supaya peruntukan Belanjawan 2027 memberi fokus pada aspek penambahbaikan tahap keselamatan di dalam sekolah.

Banyak wang perlu dibelanjakan supaya tahap keselamatan semua sekolah dalam negara kita dapat dipertingkatkan seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih berkualiti untuk tujuan pemantauan, proses pemasangan dan baik pulih pagar sekolah, bayaran perkhidmatan pengawal keselamatan dan warden sekolah dan lain–lain lagi.

Banyak lagi peralatan yang perlu dibeli dan diselenggara pada setiap masa supaya sekolah dapat berfungsi dengan baik.

Semua ini memerlukan sejumlah wang yang besar. Oleh itu, pihak kerajaan harus menyediakan sejumlah peruntukan yang cukup supaya semua sekolah dalam negara kita selamat untuk pelajar dan semua pihak yang ada dalam kawasan sekolah pada Belanjawan 2027 dan tahun-tahun mendatang.

Aspek keselamatan di dalam semua institusi pendidikan seperti sekolah tidak boleh sesekali dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

Buat sekian lama juga kita telah didedahkan dengan pelbagai insiden buli, pergaduhan, peras ugut, gangsterisme dan pelbagai aktiviti jenayah yang dilakukan dalam kalangan para pelajar. Aspek keselamatan di institusi pendidikan negara kita tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak.

Pihak kerajaan harus memastikan aspek keselamatan semua pihak dalam institusi pendidikan dalam negara kita berada dalam keadaan yang baik dan memuaskan. Keselamatan para pelajar, tenaga pengajar, dan anggota pentadbiran perlu diberi keutamaan.

Kita tidak boleh memandang ringan terhadap perkara ini. Zaman kini sudah pun berubah, semua pihak mudah terdedah dengan pelbagai pengaruh dan tatacara hidup yang berlainan dengan apa yang telah diamalkan dalam negara kita selama ini.

Ada pengaruh yang baik dan ada pengaruh yang buruk. Adalah penting kita mengambil satu langkah drastik supaya aspek keselamatan ini dapat ditingkatkan sesuai dengan perubahan zaman kini demi kesejahteraan dan keamanan masyarakat dan negara kita.

Segala cadangan yang dikemukakan ini harus dipandang positif dan serius oleh semua pihak terutamanya pihak pengurusan sekolah bagi terus menjamin aspek keselamatan dan kesihatan para pelajar di sekolah sentiasa terjaga dan terpelihara. – UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

The post Guna peruntukan tingkat tahap keselamatan di sekolah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved