
SHAH ALAM – Masyarakat digalakkan memanfaatkan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) sebagai saluran melaporkan kejadian jenayah, berbanding sekadar menularkan video di media sosial.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, penggunaan VSP membolehkan polis bertindak lebih pantas terhadap sebarang kejadian yang berlaku di kawasan masing-masing
Katanya, penggunaan VSP perlu dioptimumkan dan bukan hanya digunakan ketika musim perayaan untuk orang ramai pulang ke kampung.
“Memang kita ada aplikasi VSP yang sepatutnya digunakan sebagai saluran untuk membuat laporan. Namun, kita tidak boleh mengawal masyarakat daripada memviralkan sesuatu kejadian.
“VSP memang sering diwar-warkan dan biasanya digunakan ketika musim perayaan, Namun, sebenarnya aplikasi ini boleh dimanfaatkan untuk pelbagai laporan dan maklumat berkaitan keselamatan serta jenayah. Saluran ini lebih cepat dan terus kepada pihak polis,” katanya pada sidang akhbar selepas penyampaian sijil pelantikan kepada 549 Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa (Suksis) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas budaya masyarakat yang lebih suka menularkan sesuatu kejadian termasuk jenayah berbanding membuat laporan awal kepada polis.
Menurut beliau, JPJKK turut mempunyai bahagian yang memantau isu-isu tular di media sosial bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.
Ujarnya, ini selaras arahan Ketua Polis Negara supaya segera menangani isu yang tular agar tidak melarat dan polis tidak dilihat sebagai tidak proaktif.
“Contohnya, apabila tular video kenderaan ditahan di Lebuh Raya (Linkedua bagi tujuan lumba haram). Kita terus tangani dengan Jabatan berkenaan dan kontinjen berkenaan terus mengambil tindakan sewajarnya.
“Ini memang cabaran kepada polis. Dahulu aduan dibuat secara fizikal di balai atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), tetapi sekarang dengan kewujudan media sosial, kita perlu bekerja lebih keras dan proaktif,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan masyarakat supaya tidak terlalu ghairah merakam kejadian jenayah sehingga boleh membahayakan diri sendiri.
“Kalau berlaku kejadian jenayah, kita nasihatkan orang awam supaya berhati-hati dan jangan terlalu ghairah merakam kerana dikhuatiri keselamatan pelapor terancam.
“Semua kes boleh dilaporkan menerusi VSP dan kita menggalakkan masyarakat mendaftar serta memanfaatkan aplikasi ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Guna VSP, bukan sekadar tular appeared first on Kosmo Digital.



