
SHAH ALAM: Sebelum ‘melarat’, kes buli tidak wajar disembunyikan oleh mana-mana pihak sama ada sekolah atau institusi pendidikan tinggi lain supaya tindakan awal serta pencegahan dapat diambil.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tindakan menyembunyikan kes tersebut hanya akan menyebabkan masalah menjadi lebih serius.
Malah, beliau mendakwa sesetengah pihak beranggapan laporan sukar dilakukan demi menjaga nama baik atau atau reputasi sesebuah institusi.
“Namun bila isu ditularkan, mujur juga ditularkan. Kalau tidak tular, kita tak tahu (kerana) kami tangani dengan segera apa jua yang tular. Sebaiknya sebelum melarat (lebih teruk), kalau nampak ‘bunga-bunga’ atau api masih kecil itu, ditangani supaya dapat bertindak awal. Mungkin ada isu lain di sebalik buli yang tidak nampak,” katanya di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan penyampaian sijil pelantikan kepada 549 Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa (Suksis) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Agung Tuanku Canselor.
Jelas Noor Hisam, semua sekolah berpotensi berlaku insiden buli, namun terpulang kepada penguatkuasaan dan pengawalan disiplin di sesebuah sekolah.
“Dewasa ini pengaruh daripada wayang dan game berikan kesan kepada daya fikir remaja-remaja. Jadi bergantung kepada pihak sekolah mengekangnya dan tidak boleh berharap polis semata-mata sebab mereka paling hampir dan kerap dengan remaja ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, Noor Hisam memberitahu, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) membantu menangani isu buli di sekolah menerusi peningkatan ilmu dan kemahiran selain kerjasama antara polis dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri.
“Kita sentiasa mengusahakan langkah meningkatkan kekerapan rondaan kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan sekolah. Kita tidak mampu meletakkan anggota polis di semua sekolah di seluruh Malaysia dan tidak mampu berada di semua sekolah setiap masa,” ujarnya. – UTUSAN
The post Sorok kes buli sebabkan masalah jadi lebih berat appeared first on Utusan Malaysia.






