
KUALA LUMPUR: Pelakon, Riezman Khuzaimi, 56, menegur golongan artis dan selebriti supaya tidak mengecam atau mengutuk sesama sendiri di media sosial kerana perbuatan itu hanya menggalakkan budaya komen negatif dalam kalangan masyarakat.
Menurut Riezman, teguran berkenaan bukan ditujukan kepada mana-mana artis secara khusus, sebaliknya sebagai peringatan kepada semua pihak, khususnya golongan yang mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pengikut mereka di media sosial.
“Bukan soal artis mengecam atau mengutuk artis lain. Sebenarnya, semua masyarakat Malaysia, khasnya kita, perlu mengelakkan daripada memberikan komen yang negatif kerana ia boleh memberi impak.
“Apabila seseorang memberikan komen, kita sebagai manusia secara automatik tidak tahu cerita sebenar, tetapi terus mengiyakan dan menambah cerita sehingga perkara itu menjadi sesuatu yang tidak sihat,” katanya.
Riezman berkata demikian ketika ditemui di Sidang Media KamiSempoi Golden Award 2025 di ibu negara, semalam.
Riezman berkata, sebagai golongan yang mempunyai pengaruh, artis dan selebriti seharusnya menggunakan platform media sosial untuk memberikan contoh yang baik serta mendidik pengikut supaya lebih berhati-hati ketika memberikan komen.
“Sebagai seorang tokoh awam, selebriti dan artis, suara kita didengar oleh masyarakat Malaysia. Jadi, saya mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan rakan-rakan artis lain supaya kita menjadi ikon kepada masyarakat.
“Perkara ini sebenarnya bukan sesuatu yang boleh terus dihalang, tetapi perlu dididik. Kita mendidik pengikut kita supaya mengelakkan komen-komen negatif,” katanya.
Jelasnya, pendekatan mendidik dilihat lebih berkesan berbanding menghukum kerana perubahan dalam kalangan pengikut tidak boleh berlaku dalam sekelip mata.
“Kalau tidak percaya, lihat sahaja siaran langsung saya. Setiap hari saya bersiaran langsung dan di hujung siaran, mesti saya akan ingatkan pengikut supaya . elakkan komen-komen negatif.
“Kalau perkara itu selalu disampaikan, lama-kelamaan mereka akan berubah. Itu adalah mendidik, bukan menghukum.
“Perkara ini kita tidak boleh terus halang. Kalau kita sebagai artis dan selebriti boleh menunjukkan contoh yang baik, pengikut kita juga akan belajar untuk tidak terus menghukum atau membuat kesimpulan hanya berdasarkan apa yang mereka baca di media sosial,” katanya.
Terdahulu, wujud kalangan artis dan selebriti yang dilihat menggunakan platform media sosial untuk menyindir dan mengutuk sesama rakan industri seni sekali gus mencetuskan perdebatan tidak sihat di kalangan pengguna maya.
The post Gunakan pengaruh untuk mendidik, bukan saling mengecam – Riezman Khuzaimi appeared first on Utusan Malaysia.


