
KLUANG – Gunung Lambak yang menjadi antara mercu tanda bandar ini seolah-olah hilang ‘ditelan’ jerebu apabila pemandangan gunung berkenaan terlindung akibat pencemaran udara yang melanda daerah ini sejak hampir seminggu lalu.
Keadaan itu dapat dilihat pagi ini apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kluang mencatatkan paras antara 152 hingga 159, iaitu pada tahap tidak sihat.
Tinjauan di beberapa pusat riadah termasuk Laman Kampung Melayu mendapati orang ramai masih mengunjungi kawasan berkenaan untuk melakukan senaman ringan meskipun kualiti udara tidak menggalakkan.
Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Rosnani, 35, berkata, keadaan jerebu tahun ini agak mencabar kerana menyebabkan sekolah di seluruh Johor ditutup lebih seminggu.
“Jerebu turut mengehadkan pergerakan orang ramai, termasuk untuk beriadah. Banyak kedai yang berniaga di tepi jalan juga terpaksa menghentikan operasi kerana kekurangan pelanggan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Rosnani menyambut baik keputusan kerajaan negeri melanjutkan penutupan sekolah bagi melindungi kesihatan murid daripada kesan pencemaran udara.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Rosli Ahmad, 44, berkata, dia masih melakukan aktiviti senaman ringan di kawasan berkenaan, namun mengelakkan sebarang aktiviti fizikal yang berat. – KOSMO! ONLINE
The post Gunung Lambak hilang ‘ditelan’ jerebu appeared first on Kosmo Online.






