
PASIR MAS – Seorang guru dicekup selepas dipercayai memukul bahagian paha ibu kepada seorang murid dengan sebatang tongkat ketika hadir untuk mengadakan perbincangan selepas anaknya dipukul suspek dalam kejadian di sebuah sekolah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, siasatan awal mendapati, wanita itu menerima aduan bahawa suspek yang merupakan guru berusia 54 tahun mengetuk kepala anaknya menggunakan tongkat.
Katanya, mangsa yang berusia 42 tahun mendakwa suspek melakukan perbuatan itu tanpa sebarang punca ketika anaknya berada di sekolah berkenaan.
“Wanita itu telah memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah sebelum guru besar mengadakan satu perjumpaan secara bersemuka antara suspek dan mangsa bagi membincangkan hal tersebut.
“Pertemuan antara kedua-dua pihak yang dijalankan di pejabat sekolah turut disaksikan oleh guru besar sekolah tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mazlan memberitahu, ketika sesi perbincangan dijalankan, guru terbabit secara tiba-tiba menengking sebelum memukul bahagian paha kanan mangsa menggunakan sebatang tongkat.
Katanya, wanita itu berasa takut sebelum terus melarikan diri dan kejadian tersebut turut disaksikan oleh guru besar yang tidak menjangka suspek bertindak sedemikian.
“Sehubungan itu, mangsa tampil membuat laporan berhubung kejadian tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini kira-kira pukul 11.43 pagi semalam,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek ketika ini ditahan reman tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera menggunakan senjata. – KOSMO! ONLINE
The post Guru dicekup pukul ibu, murid dengan tongkat appeared first on Kosmo Digital.




