
KOTA BHARU - Seorang guru wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret terhadap dua pertuduhan kecuaian yang menyebabkan kematian seorang pelajar dan kecederaan seorang lagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas pada April lalu.
Tertuduh, Sakinah Ismail, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, Sakinah didakwa memandu kereta Honda HR-V secara cuai sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun pada petang 12 April.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Sakinah didakwa secara cuai melanggar seorang lagi pelajar perempuan berusia 13 tahun sehingga membahayakan nyawanya, pada masa dan tempat yang sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah mengendalikan pendakwaan, manakala peguam Muhammad Hasif Hasan dan Wan Fadhil Fayyadh Wan Mohd Zuhairi mewakili Sakinah.
Terdahulu, Muhammad Nadzir mencadangkan jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Muhammad Hasif memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya, yang merupakan seorang guru agama, telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata anak guamnya juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak dua kali.
“Beliau juga dinobatkan sebagai guru berpersonaliti terbaik di sekolah itu tahun lepas dan dijadualkan bersara pada 16 Nov,” katanya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM2,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Dis untuk sebutan semula kes. - 13 Oktober, 2026
The post Guru didakwa cuai sebabkan pelajar maut, seorang lagi cedera appeared first on Scoop.






