
NEGARA sekali lagi digemparkan dengan tragedi melibatkan kematian seorang pelajar perempuan, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemukan tidak bernyawa di dalam dewan sebuah sekolah di Yong Peng, Johor pada 3 Oktober lalu.
Kejadian tragis ini mendapat perhatian seluruh masyarakat, termasuk ada yang memberi maklum balas bersimpati kepada mangsa dan keluarga selain berharap keadilan kepada remaja perempuan tersebut.
Dalam keghairahan pengguna media sosial berkongsi maklumat tragedi, ada segelintir pengguna media sosial tidak terlepas menyebarkan dakwaan yang belum disahkan kesahihannya.
Perkara sebegini sememangnya acapkali berlaku pada setiap kali sesuatu berita itu dilaporkan.
Pasti ada yang ‘lebih sudu daripada kuah’ berkongsi atau memberi pendapat seolah-olah dia tahu semua benda.
Dalam era digital kini, semua maklumat tersebar sepantas kilat. Hanya beberapa sentuhan pada skrin telefon, berita itu dikongsi kepada ribuan pengguna.
Bagi isu berkait tragedi kematian, maklumat belum sahih sedemikian boleh memberi kesan emosi kepada waris yang masih bersedih, manakala mangsa pula tiada peluang mempertahankan diri kerana sudah tiada di dunia ini.
Susulan kematian Irene Sofiya, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sekolah sama telah ditahan untuk siasatan dengan tempoh reman terhadapnya juga disambung sehingga Khamis ini.
Penyebaran maklumat belum tentu sahih turut melibatkan remaja lelaki tersebut dan sudah tentu, keluarganya juga tidak terkecuali menerima tempias, termasuk berdepan kecaman, tekanan emosi atau pandangan negatif masyarakat di media sosial.
Hakikatnya, seseorang yang ditahan masih belum boleh dianggap bersalah, selagi dia belum dibuktikan sedemikian di mahkamah. Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas dan membawa kes ke muka pengadilan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi perkongsiannya turut menegur orang ramai berhubung prinsip tabayyun sekali gus jangan membina ‘kebenaran’ daripada spekulasi.
“Antara ujian besar masyarakat dalam sesuatu tragedi pada zaman media sosial ialah kecenderungan mahu mengetahui jawapan lebih pantas daripada proses siasatan.
“Apabila ruang maklumat masih kosong, spekulasi mudah mengambil tempat.
“Motif mula direka, perbuatan peribadi dicari, latar belakang keluarga dipersoalkan dan cerita tidak disahkan disusun sehingga akhirnya diterima sebagai ‘fakta’,” katanya.
Beliau berkata, prinsip tabayyun menuntut seseorang berhenti dan meneliti sehingga keadaan menjadi jelas, khususnya apabila sesuatu berita boleh membawa mudarat kepada orang lain.
“Ulama juga mengaitkan tabayyun dengan sikap tathabbut, iaitu tidak tergesa-gesa sebelum hakikat sesuatu perkara menjadi terang.
“Prinsip ini amat relevan dalam kes Irene Sofiya. Pihak polis sendiri menyatakan bahawa masih dalam siasatan, manakala bapa mangsa meminta masyarakat tidak menyebarkan maklumat tidak tepat,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Tragedi berdarah bukan pentas sebar spekulasi appeared first on Kosmo Online.






