
SHAH ALAM, 5 OGOS: Guru wanita ditemukan meninggal dunia dalam tandas guru sebuah sekolah menengah di Bau, Kuching hari ini.
Mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di lantai tandas sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan pada jam 9.08 pagi.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu selepas dihubungi Pusat Perubatan Kecemasan (MECC) Kuching melalui talian MERS 999 pada jam 8.53 pagi.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Polis Bau kemudian bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang di lantai tandas guru perempuan di sekolah berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Mohd Haide berkata hasil temu bual dengan rakan setugas mendapati mangsa telah berkhidmat sebagai guru mata pelajaran Sains dan Biologi sejak 25 tahun lalu.
Beliau berkata, kali terakhir mangsa dilihat adalah sekitar jam 8.15 pagi di bilik guru sebelum wanita itu memaklumkan ingin ke tandas.
Menurutnya, kira-kira jam 8.35 pagi, seorang guru lain memaklumkan mangsa masih belum hadir ke kelas untuk sesi pengajaran, menyebabkan rakan setugas pergi mencarinya di tandas guru perempuan.
"Sebaik pintu tandas dibuka, mangsa didapati berada dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri sebelum talian kecemasan dihubungi bagi mendapatkan bantuan perubatan," katanya.
Mohd Haide berkata pemeriksaan awal oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Bau tidak menemukan sebarang kecederaan mencurigakan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau Sudden Death Report (SDR), manakala mayat dibawa ke Hospital Bau untuk bedah siasat.





