
SHAH ALAM, 5 OGOS: Wanita warga tempatan ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta yang diparkir di tepi padang Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Badong, Batu 3, Kampung Bukit Badong, Kuala Selangor semalam.
Difahamkan, mangsa berusia 45 tahun ketika itu sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.13 tengah hari.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi, tiroid dan sakit jantung, lapor Harian Metro.
Menurutnya, wanita terbabit turut menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang dan Hospital Serdang sejak dua tahun lalu.
Azaharudin berkata bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah disebabkan serangan jantung.
Beliau berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu berdasarkan hasil siasatan dan laporan bedah siasat.





