
TUJUH bulan didakwa melakukan amang seksual kepada pelajar lelaki berusia 14 tahun, seorang guru wanta berusia 42 tahun menghadapi lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban .
Mengikut tiga pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah sebagai guru kelas telah melakukan amang seksual fizikal termasuk melakukan seks oral terhadap terhadap mangsa.
Tertuduh, Nurul Asyikin Sutan Shahril dipercayai perbuatan tidak senonoh itu di beberapa lokasi termasuk di bawah pokok di hadapan Taman Apartment Arowana Seremban 2 dan di sebuah rumah di Taman Nusa Intan, Seremban antara 12 September 2025 hingga 7 April 2026.
Susulan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen-seksyen tersebut.
Tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan [Akta 574] dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak dan boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen-seksyen tersebut.

Sabit kesalahan, tertuduh yang sudah memiliki dua cahaya mata boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan sebat.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 16, boleh dipenjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan boleh dikenakan.
Dalam pada itu, Nurul Asyikin turut didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa dengan cara menunjukkan gambar alat sulitnya melalui aplikasi Whatsapp bagi maksud seksual.
Antara 13 September 2025 hingga 10 April 2026, dia juga didakwa mendorong mangsa menghantar gambar sama di sebuah bilik apartment di Seremban 2.
Bagi kesalahan terbabit, tertuduh didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 15(a)(i) dan Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 Akta yang sama, dan boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen-seksyen tersebut.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan, tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport.
Peguam mewakili Nurul Asyikin, Zaflee Pakwanteh memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya bekerja sebagai guru dengan pendapatan RM6,000 sebulan.
Katanya, anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak serta jumlah jaminan yang mampu dibayarnya ialah RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Beliau turut memaklumkan bahawa tertuduh sudah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah selepas laporan polis dibuat terhadapnya.
Dalam prosiding tersebut turut hadir peguam pemerhati, Nurul Ain Syamimie Anuar yang mewakili firma guaman Zahid Ahmad & Associates.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM25,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan dimohon oleh pihak pendakwaan.
Sumber: Sinar Harian





