SUNGAI PETANI – Tidak pernah terlintas di fikiran seorang ibu bahawa anak perempuan berusia 14 tahun yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang, menjadi mangsa lelaki pedofilia.
Kisah itu diceritakan seorang kakitangan kerajaan berhubung kes yang pernah dikendalikan beberapa tahun lalu.
Menurutnya, wanita dikenali sebagai Azrina, 40-an (bukan nama sebenar) tidak menyangka, anaknya berkenalan dengan seorang pekerja kilang, 20-an menerusi laman sosial.
"Azrina mengakui, sebagai tulang belakang keluarga dan status sebagai ibu tunggal menyebabkan masanya banyak diperuntukkan untuk bekerja sehingga terlepas pandang terdapat seorang lelaki mengambil kesempatan mendekati anaknya.
"Perkara ini terbongkar apabila guru kelas maklumkan perkembangan anak yang kerap ponteng," katanya.
Menurutnya, wanita itu bertambah kecewa apabila semakan ke atas telefon bimbit mangsa mendapati mereka pernah berjumpa selepas sesi sekolah.
"Lebih mengecewakan apabila melihat perbualan tidak sepatutnya antara seorang lelaki terhadap mangsa yang merupakan kanak-kanak kategori bawah umur," katanya.
Kes terbabit bagaimanapun diserahkan kepada pihak berkuasa manakala mangsa telah dipindahkan di tempat selamat.



