Remaja lelaki ditemukan lemas di Sungai Langat

Local
20 May 2026 • 5:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Remaja lelaki ditemukan lemas di Sungai Langat
Remaja lelaki ditemui lemas selepas mandi dengan rakan di Sungai Langat di sini pada Rabu.

HULU LANGAT – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi bersama rakannya di Sungai Langat berhampiran Kampung Rantau Panjang, Batu 14 di sini pada Rabu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.57 petang.

"Seramai lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 23 kilometer," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahmad Mukhlis berkata, ketika kejadian, mangsa bersama seorang rakannya pergi mandi di Sungai Langat kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum dihanyutkan arus di kawasan air dalam sekitar jam 1 petang.

"Rakan mangsa kemudian pergi ke balai polis bagi membuat laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.54 petang," katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.37 petang dan segera menjalankan operasi pencarian di permukaan air.

"Mangsa berjaya ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan tenggelam pada jam 4.02 petang.

"Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

 

 

View Original Article