Guru, pembantu makmal, lapan kanak-kanak antara 53 ditahan Op Pedo

22 Sep 2026 • 1:36 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Guru, pembantu makmal, lapan kanak-kanak antara 53 ditahan Op Pedo

KUALA LUMPUR – Seorang guru, pembantu makmal dan lapan kanak-kanak termasuk antara 53 individu ditahan dalam Op Pedo Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 3.0.

Lebih membimbangkan, dua penjawat awam yang ditahan masing-masing merupakan guru berusia 24 tahun di Pahang dan pembantu makmal berusia 44 tahun di Terengganu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi selama tiga hari bermula 14 September lalu itu melibatkan 92 sasaran di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 52 serbuan membawa kepada tangkapan, manakala 40 lagi tidak melibatkan sebarang tangkapan.

“Daripada 53 tangkapan, 52 merupakan warganegara tempatan dan seorang warga Bangladesh.

“Yang merisaukan adalah umur keseluruhan individu ditangkap antara 13 hingga 56 tahun dengan lapan merupakan kanak-kanak dan 45 dewasa. Individu paling muda ialah kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun,” katanya pada sidang akhbar Op Pedo Bersepadu PDRM–SKMM 3.0 di Dewan Theatrette, Menara 1 Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Kumar, lapan kanak-kanak yang ditahan berusia antara 13 hingga 18 tahun dengan tujuh daripadanya lelaki, manakala seorang lagi perempuan.

Jelasnya, terdapat antara mereka yang bukan sahaja memuat turun bahan berkenaan, malah menghasilkan sendiri bahan berbentuk animasi sebelum menjualnya kepada individu dalam lingkungan komuniti mereka secara dalam talian.

“Ada yang menghasilkan animasi, bukan semua. Harga jualan pula bergantung kepada kandungan, ada RM50 dan ada RM60.

“Tidak banyak, tetapi yang membimbangkan adalah trend dan hala tujunya. Ini yang kita perlu beri perhatian serius,” katanya.

Mengulas penglibatan penjawat awam pula, Kumar berkata, guru dan pembantu makmal berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kanak-kanak yang ditahan serta berada di sekolah berlainan.

Katanya, kedudukan kedua-dua individu terbabit dalam persekitaran pendidikan bagaimanapun memerlukan penelitian lanjut terutama dari sudut kemungkinan akses kepada kanak-kanak.

Beliau turut menggesa ibu bapa meningkatkan pemantauan terhadap penggunaan media sosial anak-anak kerana golongan itu mempunyai kemahiran teknologi yang tinggi dan mudah terdedah kepada kandungan dalam talian.

Siasatan terhadap kanak-kanak terbabit masih berjalan sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan arahan dan tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

The post Guru, pembantu makmal, lapan kanak-kanak antara 53 ditahan Op Pedo appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved