Lebih 540,000 fail bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dirampas

22 Sep 2026 • 1:54 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lebih 540,000 fail bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dirampas

KUALA LUMPUR – Lebih setengah juta fail Bahan Penganiayaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) ditemukan menerusi serbuan besar-besaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di seluruh negara.

Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 3.0 yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 September lalu menyaksikan sebanyak 92 sasaran diperiksa di kesemua 14 kontinjen.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, seramai 53 individu ditahan hasil 52 serbuan, manakala 40 lagi serbuan tidak membawa kepada tangkapan.

Katanya, operasi itu turut membawa kepada rampasan 95 barang kes termasuk 90 peranti digital seperti telefon bimbit, komputer, komputer riba, tablet, peranti storan dan router atau modem serta lima alat mainan seks.

“Pemeriksaan awal terhadap peranti menemukan sebanyak 653,193 fail digital terdiri daripada 540,127 fail CSAM dan 113,066 fail pornografi dewasa,” katanya pada sidang akhbar Op Pedo Bersepadu PDRM–SKMM 3.0 di Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut Kumar, modus operandi dikesan termasuk mengakses, memperoleh, memuat turun, memiliki serta menyimpan CSAM menerusi pelbagai platform digital dan kumpulan dalam talian.

Malah katanya, terdapat kegiatan lebih kompleks termasuk menghasilkan sendiri bahan, menjualnya, mentadbir kumpulan dalam talian serta menerima pembayaran menerusi e-dompet, mata wang kripto dan PayPal.

Beliau berkata, sebanyak 52 kertas siasatan dibuka dengan siasatan antaranya mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Imigresen 1959/63.

Sehingga semalam, sebanyak 23 daripada 52 kertas siasatan atau 44 peratus telah dituduh di mahkamah, manakala baki 29 masih dalam tindakan siasatan.

Daripada 23 kertas siasatan yang telah dituduh, 11 membabitkan individu yang sudah dijatuhi hukuman, lima mengaku bersalah dan menunggu laporan akhlak, dua mengaku bersalah dan menunggu hukuman manakala lima lagi tidak mengaku salah serta akan dibicarakan.

Antara hukuman yang telah dijatuhkan adalah penjara lapan bulan dan denda RM5,000 bagi satu kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kumar berkata, sejak 2024, Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM dan Operation Cyber Guardian secara keseluruhan menghasilkan 170 tangkapan, rampasan 369 barang kes serta penemuan 2,123,887 fail CSAM dan bahan pornografi.

“Tiada ruang selamat bagi mereka yang mengeksploitasi kanak-kanak sama ada di dunia fizikal mahupun di sebalik skrin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Lebih 540,000 fail bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dirampas appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved