Ops Pedo 3.0: Guru, pembantu makmal antara 53 ditahan

22 Sep 2026 • 4:15 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Ops Pedo 3.0: Guru, pembantu makmal antara 53 ditahan

Polis rampas 95 barang kes dan kesan 540,127 fail CSAM dalam Ops Pedo 3.0 yang membabitkan penahanan 53 individu berusia 13 hingga 56 tahun.

KUALA LUMPUR: Lapan remaja dengan seorang daripadanya berusia 13 tahun, antara 53 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan berkaitan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) menerusi Ops Pedo Bersepadu 3.0 dijalankan baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar berkata kesemua mereka ditahan dalam operasi dijalankan serentak dari 14 hingga 16 Sept hasil risikan D11 JSJ bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata polis turut mengesan kegiatan menghasilkan, mengedar dan menjual video serta animasi berkaitan CSAM menerusi kumpulan tertutup dalam talian, dengan kandungan berkenaan ditawarkan pada harga antara RM50 dan RM60.

“Nilainya mungkin tidak besar, namun yang lebih membimbangkan ialah trend dan hala tuju kegiatan itu. Perkara inilah yang perlu diberi perhatian serius.

“Pembayaran pula boleh dilakukan menerusi pelbagai kaedah seperti e-dompet, PayPal dan Touch ‘n Go. Hakikatnya, kanak-kanak dan golongan muda hari ini jauh lebih mahir menggunakan media sosial serta pelbagai platform digital,” katanya pada sidang media Ops Pedo Bersepadu 3.0 di sini hari ini.

Sebanyak 92 sasaran diperiksa dalam operasi membabitkan 406 pegawai dan anggota polis serta 43 pegawai MCMC di 14 negeri, dengan 52 serbuan membawa kepada penahanan 53 individu berusia antara 13 dan 56 tahun.

Daripada jumlah itu, 51 lelaki dan dua wanita ditahan, terdiri daripada 52 warga tempatan dan seorang warga Bangladesh, termasuk dua penjawat awam dalam sektor pendidikan iaitu seorang guru dan seorang pembantu makmal dari dua institusi berasingan.

Polis turut merampas 95 barang kes termasuk komputer riba, telefon bimbit, peranti storan dan alat permainan seks, selain menemukan 653,193 fail digital terdiri daripada 540,127 fail CSAM dan 113,066 fail pornografi dewasa.

Kumar berkata 52 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Penapisan Filem 2002.

“Setakat 21 Sept, sebanyak 23 kertas siasatan dituduh di mahkamah dengan 11 daripadanya telah dijatuhkan hukuman, manakala 29 lagi masih dalam peringkat siasatan lanjut pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata 170 individu telah ditahan menerusi siri operasi membanteras jenayah berkenaan sejak Ops Pedo 1.0 pada 2024 dan Ops Cyber Guardian pada 2025, dengan keseluruhan 369 barang kes dirampas serta 2,123,887 fail digital CSAM dan pornografi dewasa ditemukan.

Kumar turut menggesa ibu bapa supaya sentiasa mengawasi aktiviti digital anak-anak, sambil menegaskan pendekatan penguatkuasaan undang-undang perlu disokong dengan kesedaran dan pemantauan berterusan di peringkat keluarga.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved